Article
Polis Perlis Temui Kereta Dipercayai Dicuri Di Kuala Lumpur
Polis menemui sebuah kenderaan mewah jenis Audi R8 yang dipercayai dilarikan dari bilik pameran di Kuala Lumpur, dalam Ops Lejang di Kuala Perlis semalam..
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis Supt Tengku Mohd Zainal Tengku Ahmad Shah berkata kereta itu ditemui pukul 2 petang di sebuah premis di Kuala Perlis, dua jam selepas Ibu Pejabat Daerah Polis Kangar menerima maklumat berkaitan cubaan menyeludup kereta mewah ke sempadan.
Katanya kereta mewah dianggarkan bernilai RM500,000 itu dilarikan dari sebuah bilik pameran kenderaan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 23 Mei lalu oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan.
Katanya ekoran penemuan kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu itu, polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang berumur antara 26 dan 33 tahun dan mereka ditahan reman selama tujuh hari.
Siasatan awal mendapati suspek utama, seorang lelaki berumur 32 tahun mempunyai 14 rekod jenayah berkaitan kes curi kenderaan dan samun berkawan manakala seorang lagi lelaki berusia 33 tahun mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kes dadah.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta dan sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan antara tiga dan sembilan sebatan.
-- BERNAMA