Artikel
Polis Gerakan Marin Rampas 6 500 Biji Telur Penyu
Polis Gerakan Marin (PGM) di sini merampas 6,500 biji telur penyu yang cuba diseludup masuk ke daerah ini dalam dua operasi berasingan pada Khamis dan Jumaat l...
Penolong Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Sandakan Insp Sri Vikneswaran Renganathan berkata telur penyu tersebut diseludup dari negara jiran untuk pasaran haram di daerah ini.
Katanya rampasan pertama dilakukan pada Khamis kira-kira pukul 4 pagi selepas pihaknya melakukan operasi di kawasan pesisir pantai Kampung Forest dekat sini dan mengesan sebuah bot pam.
Ketika serbuan dilakukan, juragan bot tersebut melarikan diri ke dalam kawasan hutan bakau dan dalam bot tersebut ditemui 3,000 biji telur penyu, katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.
Beliau berkata operasi kedua dilakukan pada hari berikutnya di kawasan tepi sungai Kampung Obar di Batu 7 dekat sini pada pukul 7 pagi.
Menurutnya anggota PGM terserempak dengan sebuah bot dipandu laju meninggalkan kawasan itu dan hasil pemeriksaan menemui 12 plastik mengandungi 3,500 biji telur penyu.
Sri Vineswaran berkata maklumat orang ramai telah membantu pihaknya membanteras penyeludupan telur penyu ke daerah ini.
-- BERNAMA