Polis Pahang Tumpas Geng Givah Cuba Larikan Mesin Atm
Kuantan,
14 Jun - Tindakan pantas orang awam dan kecekapan pihak polis berjaya
menumpaskan 'Geng Givah' yang cuba melarikan sebuah mesin pengeluaran
wang automatik (ATM), di Indera Mahkota di sini, awal hari ini.
Dalam kejadian 3.30 pagi itu, kumpulan lima lelaki terbabit mengikat kabel pada mesin ATM berkenaan sebelum menariknya dengan menggunakan sebuah lori.
Menurut
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad, perbuatan
itu disedari orang awam yang menyergah kumpulan terbabit, menyebabkan
suspek panik dan melarikan diri dengan lori tersebut.
Hasil
laporan orang awam, polis berjaya memberkas empat daripada mereka
berhampiran masjid Indera Mahkota, kira-kira satu kilometer dari tempat
kejadian, manakala seorang lagi ditahan di sebuah rstoran di Jalan Haji
Ahmad tidak lama kemudian, katanya pada sidang media, di sini.
Menurutnya siasatan awal mendapati mesin ATM itu mengandungi wang berjumlah RM84,000.
Siasatan
awal juga mendapati lori itu dicuri pukul 8 malam semalam di Jalan
Bukit Ubi dekat sini, katanya menambah polis percaya suspek berusia
antara 22 dan 34 tahun itu turut terbabit dalam cubaan melarikan sebuah
mesin ATM di Bukit Goh pada 4 Jun lepas.
"Tiga
daripada suspek terbabit berasal dari Kuantan, seorang masing-masing
dari Kuala Lumpur dan Kota Baharu, Kelantan," katanya.
Zakaria berkata polis turut merampas topeng muka, sarung tangan, tukul dan kabel.
"Siasatan turut mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
- BERNAMA