Polis Negeri Sembilan Kesan Individu Lakukan Aksi Street Luging
Seremban, 26 Jan - Polis kini sedang mengesan individu yang melakukan aksi 'street luging' menuruni bukit di Jalan Seremban-Jelebu, dekat sini kerana dianggap merisikokan keselamatan termasuk pengguna jalan raya yang lain.
Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, ASP Zainudin Ahmad berkata polis menerima laporan daripada orang awam mengenai tindakan individu terbabit dan sedang menjalankan siasatan.
"Tindakan seperti itu pertama kali dikesan dilakukan di negeri ini dan ia merupakan tindakan yang sememangnya tidak boleh dilakukan di atas jalan raya apatah lagi terdapat kenderaan lain yang melalui jalan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit boleh menghubungi balai polis berdekatan.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Loh Seng Kok dalam Facebooknya memuat naik aksi individu terbabit yang memotong keretanya ketika menuruni bukit di satu selekoh di jalan raya berkenaan.
Video berdurasi kira-kira satu minit itu mendapat pelbagai reaksi pengguna laman sosial tersebut kerana aksi tersebut boleh mengakibatkan kemalangan dan mengancam nyawa.
- BERNAMA