Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Jenayah Komersial Di Pulau Pinang Meningkat

Diterbitkan: 26 Jan 2016 2.12 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
George Town, 26 Jan - Kerugian harta benda terutama wang tunai membabitkan jenayah komersial di Pulau Pinang meningkat kepada RM36.5 juta tahun lepas berbanding RM25 juta pada tahun sebelumnya.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/jenayah-komersial-di-pulau-pinang-meningkat
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 22:00 MYT


George Town, 26 Jan - Kerugian harta benda terutama wang tunai membabitkan jenayah komersial di Pulau Pinang meningkat kepada RM36.5 juta tahun lepas berbanding RM25 juta pada tahun sebelumnya.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A.Thaiveegan berkata jumlah itu membabitkan 945 kes, meningkat 36.9 peratus berbanding 690 kes pada 2014.

"Polis Pulau Pinang memandang serius perkara ini dan ia juga menunjukkan penduduk di sini masih memiliki kesedaran yang rendah mengenai jenayah komersial atau kolar putih yang berlaku di sekeliling mereka.

"Kes yang paling banyak direkodkan membabitkan kes tipu, penipuan bungkusan, pecah amanah serta gores dan menang," katanya kepada pemberita selepas Kempen Kesedaran Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang bersama komuniti di Quensbay Mall di sini hari ini.

Beliau berkata kempen itu adalah bagi memberi dan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai jenayah komersial serta memastikan penduduk negeri ini lebih peka dan berwaspada.

"Kami harap masyarakat dapat bersama memainkan peranan dalam mengurangkan kes jenayah komersial termasuk membabitkan penipuan siber khususnya Macau Scam, penipuan bungkusan, gores dan menang serta lain-lain penipuan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata polis sedang mengesan seorang wanita rakyat asing yang disyaki dalang sindiket ragut semasa sambutan Thaipusam yang baru berakhir.

Beliau berkata wanita berusia 50-an itu dipercayai menyimpan pelbagai barang kemas yang diragut itu.

Sabtu lepas polis menahan lima rakyat asing, disyaki anggota sindiket ragut, yang datang ke Pulau Pinang semata-mata untuk meragut pengunjung sewaktu Thaipusam.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 26 Jan 2016 2.12 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM