Polis Melaka Tumpas Kumpulan Samun Jalanan Geng Samsul
Melaka,
4 Okt - Polis Melaka menumpaskan kumpulan samun jalanan bermotosikal
dikenali sebagai 'Geng Samsul' yang aktif sejak tiga bulan lepas sekitar
Jalan Jonker dan Kota Laksamana di sini.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata
geng itu dianggotai dua remaja berusia 16 tahun, seorang lelaki berusia
20 tahun dan ketuanya, Samsul Anuar, 43, dikehendaki bagi kesalahan
berkaitan dadah.
Beliau berkata mereka ditahan di sebuah rumah di Lorong Bukit Tempayan, Tangga Batu di sini pada 4 pagi 27 Sept lepas.
"Semua
mereka ditahan sejak tarikh tangkapan itu hingga Selasa lepas dan
semalam disambung reman bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Beliau
berkata polis percaya kumpulan itu juga terlibat dalam jenayah ragut
beg tangan seorang setiausaha berusia 30-an di depan rumah mangsa di
Kota Laksamana di sini pada 11.30 malam 15 Sept lepas.
Raja Shahrom berkata dengan tumpasnya geng itu, polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes samun di dua lokasi berkenaan.
Beliau
berkata polis merampas sebuah motosikal dipercayai digunakan ketika
melakukan jenayah berkenaan, lapan telefon bimbit pelbagai jenama dan
sebuah loket perak disyaki milik mangsa samun, sepucuk pistol mainan,
empat pisau lipat, beberapa nombor pendaftaran motosikal palsu serta
peralatan menghisap dadah.
Saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Dua
daripada mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau termasuk jenayah
curi motosikal, tipu dan pernah ditahan di Simpang Renggam," katanya.
Sumber : BERNAMA