Polis Tumpas Kegiatan Edar Dadah Tahanan Dua Pasang Kekasih
Ledang,
4 Okt - Polis percaya berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran
dadah di hotel bajet sekitar bandar ini dan Muar dengan penahanan dua
pasang kekasih serta merampas sejumlah dadah bernilai RM196,800 di
Kampung Pagar Laut, Kesang dua hari lepas.
Ketua
Polis Daerah Ledang Supt Harun Idris berkata pasangan kekasih berusia
lingkungan 19 dan 33 tahun itu ditahan di sebuah rumah di kampung
berkenaan pada kira-kira 11.30 malam.
"Polis
menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dan dua perempuan berusia 19
serta 30 tahun di luar rumah dan menemui dadah jenis syabu seberat 26.5
gram di dalam sebuah kereta Honda Accord.
"Polis
kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun di dalam rumah
dan menemui heroin seberat 31.12 gram dan syabu seberat 56.4 gram
daripadanya," katanya.
Beliau
berkata selain itu, polis merampas wang tunai RM3,000, barang kemas
bernilai kira-kira RM5,000, alat timbang dadah dan paket plastik untuk
diisi dadah.
Harun
berkata modus operandi pasangan terbabit ialah menginap dari satu hotel
bajet ke satu hotel bajet lain dan menggunakan kereta bernombor
pendaftaran Singapura selain menyamar rakyat asing bagi mengaburi pihak
berkuasa.
Beliau
berkata mereka akan menginap untuk tempoh dua hari sahaja dengan segala
urusan jual beli dadah dilakukan di premis itu secara tunai atau
diganti dengan barang kemas.
Suspek
dipercayai aktif dengan jenayah berkenaan sejak awal tahun ini dan
polis sedang menyiasat dari mana bekalan dadah diperoleh.
"Modal
mereka membeli dadah itu hanya RM24,000. Harga pasaran untuk kesemua
syabu seberat 82.9 gram itu adalah RM165,800 dan boleh dibekal kepada
3,500 penagih manakala heroin seberat 31.12 gram pula boleh menampung
keperluan sehingga 1,600 penagih," katanya.
Harun berkata mereka juga didapati positif syabu dan ditahan reman sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut.
Sumber : BERNAMA