Polis Keluarkan 65 Waran Tangkap Pemandu Bas
Kuala
Lumpur, 25 Sept - Polis mengeluarkan 65 waran tangkap terhadap pemandu
bas ekspres kerana pelbagai kesalahan jalan raya menerusi Operasi Khas
Warta Bas, di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.
Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman Dato' Abdul Aziz Yusof berkata waran tangkap itu juga
dikeluarkan kepada pemandu bas yang mempunyai rekod saman tertunggak.
"Mereka
perlu hadir di mahkamah dan menjelaskan bayaran saman mereka di
mana-mana cawangan balai polis trafik terdekat dalam tempoh seminggu.
Jika
tidak hadir di mahkamah, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang
dan dalam operasi akan datang polis tidak akan beri muka kerana mereka
akan ditahan dan dibawa terus ke mahkamah," katanya kepada pemberita
selepas memeriksa 99 pemandu bas di TBS.
Beliau berkata 65 pemandu bas yang dikeluarkan waran tangkap hari ini dibebaskan dengan jaminan polis.
"Saya
menasihatkan kepada pengusaha-pengusaha bas agar memastikan pemandu bas
mereka 'bersih' daripada melakukan kesalahan jalan raya, saman dan
waran tangkap," kata Abdul Aziz.
Pemandu bas pula harus menitikberatkan keselamatan dan keselesaan penumpang serta tidak memandang remeh saman yang dikenakan.
"Jangan
semata-mata mengejar destinasi dan membawa melulu dengan menggadai
keselamatan penumpang. Jika dilihat sejak kebelakangan ini kerap berlaku
kemalangan bas, yang kini meningkat sebanyak 14 peratus," katanya.
Sehingga kini polis mengeluarkan sebanyak 2,900 waran tangkap untuk pemandu bas.
Dalam
operasi hari ini sebanyak 55 anggota dan pegawai terlibat dan
ditempatkan di tiga lokasi iaitu di Hentian Putra, Pudu Sentral dan TBS
dari jam 8 pagi sehingga 11 pagi.
Sementara
itu S. Arumugam, 42, berkata selama 12 tahun berkhidmat sebagai pemandu
bas beliau tidak tahu yang beliau mempunyai saman.
"Sebelum
ini saya ada membuat semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan
mendapati kad pengenalan saya tidak mempunyai rekod saman.
Apabila
polis membuat operasi ini, saya membuat semakan semula dan mendapati
saya mempunyai rekod enam saman dan satu waran tangkap," katanya.





Sumber : BERNAMA
Foto : Unit Portal Dan Media Sosial Bukit Aman