Polis Berkas 18 Penagih Dalam Ops Tapis Di Raub
Kuantan,
13 Okt - Polis memberkas 18 penagih dadah lelaki dalam satu operasi di
kawasan ladang kelapa sawit Felda Tersang, Cheroh dekat Raub, semalam.
Ketua
Polis Daerah Raub Supt Wan Shamsuddin Wan Osman berkata mereka ditahan
sepasukan polis dari Cawangan Narkotik IPD Raub dan anggota Pondok Polis
Tersang dalam Ops Tapis yang bermula pukul 5 pagi dan berakhir pada 1
tengah hari.
"Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata polis melakukan operasi di kawasan itu selepas mendapat maklumat orang awam.
"Mereka
yang ditangkap itu bekerja sebagai buruh ladang, selain penganggur yang
menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat melepaskan gian," katanya.
Wan
Shamsuddin berkata 13 daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a)
Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi kesalahan memasukkan dadah ke
tubuh sendiri.
Beliau
meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti
jenayah agar menghubungi hotline IPD Raub di talian 09-3554 999.
Sumber : BERNAMA