Peragut Ditahan Dalam Ops Cantas Di Dungun
Dungun,
13 Okt - Seorang lelaki yang menjadikan kegiatan meragut sebagai
kerjayanya dengan menyasar golongan wanita yang menunggang motosikal
bersendirian ditahan di sini dalam Ops Cantas dua hari lalu.
Dengan
tertangkapnya suspek berumur 27 tahun ini di Kampung Alor Tembesu, ia
sekali gus dapat menyelesaikan 10 kes ragut di daerah ini.
Ketua
Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata suspek ditahan
ketika sepasukan anggota polis melakukan rondaan dan terlihat suspek
dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil
pemeriksaan ke atas suspek yang berasal dari Kampung Alor Tembesu, kami
menemui dua dompet dan dua buah telefon bimbit yang dipercayai hasil
ragut.
"Polis
mengecam suspek menerusi keterangan mangsa sebelum ini yang mengatakan
mereka diragut lelaki yang menaiki motosikal Honda EX5 berwarna merah
dan melalui maklumat tersebut, suspek menjadi sasaran pihak polis,"
katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Ahmad
Zailani berkata pihak polis turut merampas motosikal yang digunakan
suspek serta 12 beg tangan pelbagai jenama, 12 dompet wanita, tujuh
telefon bimbit pelbagai jenis, kad pengenalan dan lesen memandu milik
mangsa yang disorok di bawah rumah suspek. Suspek aktif meragut sejak
tiga bulan lepas di sekitar pekan Dungun.
"Selain
golongan wanita yang menunggang motosikal secara berseorangan, suspek
juga sasar wanita yang berjalan kaki berseorangan di tempat awam
walaupun di waktu siang hari," katanya.
Beliau
berkata pihaknya mula menjejak suspek sejak bulan lepas selepas disyaki
dia terlibat dalam kes ragut sejak Ogos hingga Sept lalu.
Hasil
ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine dan
turut mempunyai rekod jenayah lampau kerana memiliki dadah. Suspek kini
ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sumber : BERNAMA