
Piala Agong 2022 Pasukan Ragbi Pdrm Tebus Kekecewaan Separuh Akhir Berjaya Akhiri Kejohanan Di Tempat Ketiga
Subang Jaya, 3 Disember 2022 - Pasukan Ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menebus semula kekecewaan pada separuh akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong Tahun 2022, apabila berjaya merangkul tempat ketiga setelah menewaskan Pasukan Ragbi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 35-34 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Ragbi Pangkalan Udara Subang, dekat sini.
Walaupun kecundang di tangan Pasukan Ragbi Putrajaya untuk mara ke perlawanan akhir pada Rabu lalu, namun kepuasan terpancar di wajah semua anak buah Ketua Jurulatih Ragbi PDRM, Sarjan Shahril Azri Abdul Rauf apabila berhabis-habisan menghalang kemaraan ATM.
Dalam perlawanan separuh masa pertama tadi, PDRM bermain garang dan berjaya menggoyahkan ATM, 21 berbalas 3 mata. Memasuki separuh masa kedua, ATM cuba mengejar dan merapatkan kedudukan namun di saat-saat akhir, PDRM terus bertahan serta berjaya mendahului sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil.
Acara penyampaian hadiah kepada pasukan pemenang tadi disempurnakan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Watiqhu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin.
Juara dari Pasukan Ragbi Putrajaya menerima hadiah berupa replika cek berjumlah RM20,000 bersama piala iringan dan medal, manakala naib juara, Terengganu menerima replika cek berjumlah RM15,000. Bagi tempat ketiga, PDRM menerima replika cek berjumlah RM10,000.
Hadir menyaksikan kejohanan penutup tadi ialah Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Dato’ Shahrul Zaman Datuk Yahya, ACP Seksyen Pengurusan Kualiti, Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman merangkap Pengelola Sukan Ragbi PDRM, ACP Zaldino Zaludin serta para penyokong PDRM.
Bagi pihak seluruh warga Pasukan, kami mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Pasukan Ragbi PDRM atas kejayaan cemerlang dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-38 Tahun 2022 kali ini. Semoga juara milik kita di tahun akan datang!
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin.