Perbarisan Perpisahan Yb Dato Seri Syed Hamid Albar
PULAPOL
- 15 April 2009. Perbarisan Perpisahan YB Dato' Seri Syed Hamid bin Tan
Sri Syed Jaafar Albar dan YBhg. Datin Seri Sharifah Aziah binti Syed
Zainal Abidin telah berlangsung dalam suasana hujan renyai dan hiba di
Dataran Kawat, PULAPOL Kuala Lumpur.
Hadir
di majlis tersebut ialah YDH Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan, Ketua
Polis Negara dan YBhg. Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad, YDH Tan Sri
Haji Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara dan YBhg. Puan
Sri Hajjah Suriati binti Md Sobri, Yang Mulia Dato' Raja Azahar bin
Raja Abdul Manap, Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,
YDH Dato'-Dato' Pengarah PDRM, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Polis dan Ketua
Polis Negeri dan isteri, Timbalan-timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai
Kementerian Dalam Negeri serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM.
Tanggal
19 Mac 2008 telah membuka lembaran bersejarah bagi Kementerian Dalam
Negeri kerana pada tanggal tersebut, YB Dato' Seri Syed Hamid Albar
telah mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri yang disandang oleh
YAB Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Seluruh
warga Polis Diraja Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan
ucapan terima kasih kepada YB Dato' Seri Syed Hamid Albar di atas jasa
serta sumbangan Yang Berhormat selama satu tahun dua puluh satu hari
bersama warga PDRM. Warga PDRM menyanjung tinggi di atas keperihatinan
serta sentiasa memberi sokongan yang jitu terhadap usaha yang telah
dilakukan oleh PDRM bagi memperkasakan pasukan ini, mengambil berat dan
memantau segala usaha yang dilakukan oleh PDRM khususnya tentang
pencapaian Pelan Strategik Lima Tahun PDRM (PS5T) yang ternyata telah
mengubah PDRM ke arah lebih produktif dan proaktif.
Di
atas dorongan dan sokongan YB Dato' Seri, Kementerian Dalam Negeri
telah memperuntukkan sejumlah bajet yang besar kepada PDRM umpamanya di
dalam aspek pembangunan PDRM, membaik pulih Balai-Balai Polis, pembelian
kereta berkuasa tinggi dan motosikal untuk tugas pencegahan jenayah.
Selain itu YB Dato' Seri juga cukup prihatin terhadap aspek kebajikan
seluruh warga PDRM, memperjuangkan soal kenaikan pangkat, kemudahan asas
dan penampilan Polis Diraja Malaysia.
Sokongan
yang jitu dan tidak berbelah bagi daripada YB Dato' Seri kepada PDRM
selama ini telah menaikkan dan menyemarakkan lagi semangat warga PDRM
untuk terus bekerja dan berbakti kepada seluruh rakyat negara ini tanpa
mengenal penat dan jemu, tidak akan gentar dan takut kepada apa-apa
halangan dan rintangan serta cubaan untuk melemahkan PDRM daripada terus
berkhidmat kepada bangsa, agama dan negara.

Antara YDH Pengarah-Pengarah PDRM serta Pegawai-pegawai Kanan yang hadir

Pemeriksaan Perbarisan oleh YB Dato' Seri Syed Hamid sambil diiringi oleh YDH Ketua Polis Negara

Perbarisan
Lintas Hormat..Kawalan Kehormatan diketuai oleh DSP Alexandro Dawan
bersama 102 anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan sambil dibantu
oleh Penolong Pegawai Baris, ASP Nazrul Azman Nazri.

Gurindam
Perpisahan hasil nukilan Supt. Rasdi bin Ramli, Penguasa Perhubungan
Awam disampaikan oleh Sjn Muhamad bin Ismail, HEA IPD Rembau

YB Dato'
Seri Syed Hamid bin Tan Sri Syed Jaafar Albar dan YBhg. Datin Seri
Sharifah Aziah binti Syed Zainal Abidin ditarik menggunakan kenderaan
khas sehingga ke pintu gerbang PULAPOL.