Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Peragut Tumpas 22 Kes Samun Sekitar Ampang Dan Empat Daerah

Diterbitkan: 17 Jun 2014 5.34 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
'Sebelum polis sampai ke tempat kejadian orang ramai telah berjaya menahan suspek. Polis turut merampas dua beg tangan, dua telefon bimbit, satu galaxy tab, tiga kad memori, satu kad pengenalan orang
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/peragut-tumpas-22-kes-samun-sekitar-ampang-dan-empat-daerah
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 03:20 MYT

Kuala Lumpur, 17 Jun - Polis berjaya menyelesaikan 22 kes samun dan ragut di sekitar Ampang, Sentul, Kajang, Cheras dan Gombak berikutan penahanan seorang lelaki di pasar malam Taman Muda Pandan Indah, Ampang di sini dua hari lepas kerana meragut seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata ketika kejadian kira-kira 12.05 tengah malam itu, suspek berumur 25 tahun berjaya ditangkap dengan bantuan orang ramai.

"Sebelum polis sampai ke tempat kejadian orang ramai telah berjaya menahan suspek. Polis turut merampas dua beg tangan, dua telefon bimbit, satu galaxy tab, tiga kad memori, satu kad pengenalan orang lain dan tiga kad ATM daripada lelaki itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan ke atas barangan yang dirampas, suspek dipercayai baru melakukan samun ragut terhadap seorang wanita di kawasan perumahan Taman Desa Setapak.

Katanya suspek dipercayai aktif melakukan samun ragut secara berseorangan menggunakan motosikal jenis Yamaha 125Z warna biru di sekitar Ampang dan daerah kejiranan sejak awal tahun lepas.

"Hasil siasatan lanjut, polis membuat pemeriksaan di rumah suspek di Cheras dan merampas 44 beg tangan, 38 dompet pelbagai jenama, 35 telefon bimbit, 35 pen drive (peranti storan media), 28 kad sim telefon, satu komputer riba dan satu kamera digital," katanya.

Katanya suspek direman tiga hari iaitu sehingga hari ini dan ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis syabu dan suspek juga mempunyai dua rekod lampau termasuk kes dadah.

Sehubungan itu, pihak polis meminta mangsa samun dan ragut di sekitar lima kawasan berkenaan tampil bagi membantu siasatan.

"Kami percaya lebih banyak kes akan berjaya diselesaikan berdasarkan barang kes yang dirampas daripada suspek," katanya.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 17 Jun 2014 5.34 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM