Polis Marin Semporna Rampas 10 000 Liter Petrol Subsidi
Semporna,
17 Jun - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Semporna merampas 10,000 liter
petrol bersubsidi di kawasan laut Tanjung Baru, dekat sini dipercayai
cuba diseludup keluar ke negara jiran, pada Sabtu.
Pegawai
Pemerintah PGM Semporna, ASP Mat Zawawi Mat Yaacob, berkata petrol itu
dijumpai dalam 400 tong dan ditutup dengan kanvas di dalam sebuah bot jongkong yang dalam perjalanan ke sempadan perairan negara.
"Kira-kira
jam 11.30 malam, semasa menjalankan tugas Op Daulat, bot ronda PSC 9
mengesan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan di kawasan laut
Tanjung Baru, dalam perjalanan menuju ke perairan sempadan.
"Setelah
dihampiri untuk pemeriksaan, empat lelaki dalam bot tersebut bertindak
terjun ke laut dan berenang ke kawasan cetek untuk menyelamatkan diri,
manakala bot ditinggalkan tanpa juragan dan enjin bot masih hidup dengan
bot bergerak sendiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya
turut dirampas ialah sebuah bot bersama dua unit enjin masing-masing
berkuasa 75 dan 115 kuasa kuda. Nilai semua rampasan termasuk bot dan
enjin berkenaan dianggarkan RM50,000.
Tiada suspek ditangkap dalam kejadian itu.
- BERNAMA