Empat Anggota Sindiket Samun Kedai Serbaneka Ditahan
Kuching,
17 Jun - Tiga lelaki dan seorang perempuan ditahan polis, dipercayai
terlibat dalam tiga kes samun melibatkan tiga buah kedai serbaneka di
sekitar bandar raya ini, minggu lepas.
Minggu
lepas polis melancarkan gerakan memburu tiga kumpulan penjenayah
dikatakan merompak enam kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini dalam
tempoh kurang 48 jam.
Ketua
Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata dengan
penangkapan kesemua suspek itu, polis percaya turut dapat menyelesaikan
beberapa kes samun lain di sekitar bandar raya ini.
"Pada
15 Jun kira-kira 9.30 pagi sepasukan anggota polis dari Balai Polis
Padungan membuat intipan ke atas sebuah kenderaaan jenis Proton Waja di
tempat letak kereta di Hock Lee Centre, Jalan Datuk Abang Abdul Rahim di
sini.
"Keempat-empat
suspek ditangkap ketika datang untuk mengambil kenderaan tersebut, dan
hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kenderaan tersebut
dilaporkan hilang di Sekama," katanya di sini, hari ini.
Mengulas
lanjut, Roslan Bek berkata hasil pemeriksaan ke atas kenderaan turut
menjumpai beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek ketika
menyamun.
"Antara
yang dijumpai ialah dua pemotong besi, satu kapak, satu pengumpil besi,
satu parang, dua nombor pendaftaran kenderaan, dan satu topeng muka.
"Turut
ditemui dalam kenderaan itu lapan beg tangan wanita, lima komputer
riba, tujuh telefon bimbit, dua buah Samsung Galaxy Tab dan satu kad
hotel," katanya.
Roslan
Bek berkata siasatan lanjut akan dibuat di bawah Seksyen 395 Kanun
Keseksaan dan reman akan dikenakan terhadap keempat-empat suspek.
- BERNAMA