Penganjuran Kali Kedua General Police Equipments Exhibition Dan Convention Asia 2011
Putrajaya - 9 Jun 2011. Program Kali Kedua Pameran Kelengkapan Khas Polis dan Persidangan Asia 2011 (General Police Equipments Exhibition dan Convention Asia 2011) yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Jun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini adalah penganjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN), merangkumi pameran, demonstrasi produk dan persidangan yang akan melibatkan pembentangan kertas kerja oleh KDN dan Polis Diraja Malaysia.
Penganjuran General Police Equipments Exhibition dan Convention Asia 2011 (GPEC Asia 2011) ini juga sebagai platform baru untuk membincangkan isu-isu berkaitan jenayah rentas sempadan (Transnational Crime) secara lebih komprehensif dan terperinci dalam usaha memperkukuhkan bidang keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini dan juga rantau Asia.
Semasa berlangsungnya GPEC Asia 2011 ini, pihak KDN akan turut menganjurkan satu persidangan khas bertajuk 'Cabaran dan Mengurus Ancaman Jenayah Rentas Sempadan Pada Abad Ke-21' dan dijangka sebanyak 15 negara akan menyertai persidangan ini.
"Pihak KDN juga akan mewujudkan hubungan dua hala baru atau memperbaharui kerjasama sedia ada dengan beberapa buah negara seperti Australia dalam isu penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang, Arab saudi dalam isu keganasan, China dan United Kingdom dalam isu keselamatan serta Turki dalam isu risikan dan keselamatan", ucap YB Dato' Sri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri semasa Sidang Akhbar di Putrajaya petang tadi.
GPEC Asia 2011 kali ini adalah berbeza dengan penganjurannya pada tahun 2009 kerana ia diadakan secara besar-besaran dengan melibatkan penyertaan Menteri-Menteri dari negara-negara anggota Asean dan juga dari Arab Saudi, Australia, China, Turki dan United Kingdom.
Turut hadir semasa Majlis Pra Pelancaran GPEC Asia 2011 oleh YB Dato' Sri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri ialah Y.Bhg Dato' Sri Mahmood bin Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YDH IGP Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar,Ketua Polis Negara, Ketua-Ketua Pengarah di Kementerian Dalam Negeri, Pegawai-pegawai Kanan PDRM, dif-dif jemputan serta wakil-wakil penaja.
YB Dato' Sri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri di Majlis Penyampaian Penganjuran GPEC Asia 2011
Melihat 'banner' General Police Equipments Exhibition dan Convention Asia 2011
Wakil daripada Nova Superscreen menyampaikan penganjuran daripada syarikat mereka kepada YB Menteri Dalam Negeri
Bersama-sama wakil penganjuran untuk General Police Equipments Exhibition dan Convention Asia 2011
Menunjukkan isyarat 'bagus' untuk logo GPEC Asia 2011 oleh YB Dato' Sri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri kepada wakil-wakil media
Sidang Akhbar oleh YB Dato' Sri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri bersama Y.Bhg Dato' Sri Mahmood bin Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan YDH IGP Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara
Jurufoto : L/Kpl Mohamad Faizyal bin Jamaludin
Wartawan : Sjn Zaiddin bin Dahalan