Pasaran Dadah Di Cheras Lumpuh 7 Pengedar Diberkas
KUALA
LUMPUR 2 Dis. - Polis percaya pasaran dadah di sekitar Cheras di sini
hampir lumpuh dengan tertangkapnya tujuh penjenayah daripada tiga
kumpulan pengedaran dadah berasingan baru-baru ini.
Tiga
kumpulan yang terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan itu
didapati menjalankan urusan penjualan dadah di lokasi berasingan
termasuk sekitar pusat hiburan dan tapak pembinaan.
Serbuan terhadap kumpulan pertama dijalankan di Taman Tenaga Cheras kira-kira pukul 6.30 petang pada 19 November lalu.
Hasil serbuan itu, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abd. Rahim Hamzah Othman, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun.
"Bersama suspek, kami merampas 87.4 gram dipercayai dadah heroin di beberapa tempat di dalam rumah berkenaan.
"Suspek dipercayai menjalankan urusan pengedaran dadah di sekitar Cheras sejak Mac tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.
Beliau memberitahu, serbuan kedua dilakukan pada pukul 7 malam, 23 November lalu di sebuah rumah Taman Pertama Cheras pula menemui 2.2 kilogram dadah dipercayai ganja.
Katanya, dadah yang disembunyikan di ruang belakang kabinet dapur itu dipercayai milik tiga suspek warga Indonesia yang ditahan di rumah tersebut.
"Tiga suspek itu ialah sepasang suami isteri berusia 36 dan 28 tahun serta rakan karib mereka berusia 20 tahun.
"Kumpulan pengedar dadah ganja ini dipercayai menjalankan kegiatannya di tapak pembinaan kerana dua lelaki terbabit merupakan buruh kasar," ujarnya.
Abd. Rahim Hamzah berkata, dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Taman Seri Petaling, polis menahan dua beradik lelaki berusia 29 dan 32 tahun serta seorang perempuan berusia 33 tahun.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kami menemui 354 gram dadah jenis ketamin di merata tempat termasuk dalam kereta milik suspek.
"Pemeriksaan lanjut mendapati sindiket itu menjalankan urusan pengedaran dadah di pusat hiburan di sini sejak Mei tahun lalu," katanya lagi.