Dua Lelaki Ditahan Empat Kereta Mewah Bernilai Rm2 Juta Dir
Subang Jaya - 18 Nov2009 - Polis percaya berjaya melumpuhkan kumpulan curi kereta dengan tertangkapnya dua ahli termasuk ketuanya dan merampas empat kereta mewah bernilai RM2 juta di sebuah flat di Pandamaran, 12 November lalu.
Berikutan penahanan itu, polis percaya telah menyelesaikan 15 kes samun kereta mewah di sekitar Lembah Klang sejak 11 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, pihaknya kini memburu dua lagi ahli kumpulan tersebut yang masih bebas.
Beliau berkata, kejayaan itu bermula dengan penahanan seorang suspek pada 12 November lalu ketika menuju ke kereta jenis BMW, pukul 6.30 petang.
"Siasatan mendapati suspek terlibat dalam satu kes curi kereta mewah di Taman Tun Dr. Ismail, Oktober tahun lalu.
"Kereta BMW dipandu suspek itu didapati adalah kereta curi dan memiliki nombor pendaftaran palsu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, polis menemui sebuah lagi kereta curi jenis Audi A4 di kawasan flat sama.
Menurut Zainal Rashid, hasil pemeriksaan, polis mendapati suspek mempunyai kaitan dengan seorang suspek yang ditahan beberapa hari sebelum itu di Subang Jaya atas kesalahan menagih syabu.
"Polis dapati mereka merupakan dua daripada empat ahli kumpulan sama yang terlibat dalam kes samun kereta mewah di sekitar Lembah Klang," katanya.
Beliau berkata, polis juga percaya kedua-dua mereka turut mempunyai kaitan dengan penemuan dua buah kereta mewah yang dilaporkan hilang dan ditemui polis pada Julai dan Ogos lalu.
"Kereta itu ialah jenis Chevrolet dan Porsche. Polis percaya mereka terlibat dalam kes samun empat kereta itu," ujar beliau.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah dengan memecah masuk rumah, menyamun barang berharga sebelum melarikan kereta pemiliknya.
Katanya, kumpulan suspek itu menggunakan senjata jenis parang dan pisau ketika menyamun, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera.
"Polis masih menjalankan siasatan ke atas kereta-kereta mewah lain yang dilaporkan hilang.
"Kedua-dua suspek yang ditahan itu direman sehingga 20 November ini mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.