Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

2 Wanita Asing Diselamatkan

Diterbitkan: 13 Jun 2014 2.46 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis berjaya menyelamatkan seorang wanita Filipina dan Kazakhstan yang diculik dan didera oleh sekumpulan lelaki warga Afrika di sebuah kondominium di Bandar Sunway di sini, sejak seminggu lalu...
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/2-wanita-asing-diselamatkan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 06:42 MYT

SUBANG JAYA 22 Disember 2009. – Polis berjaya menyelamatkan seorang wanita Filipina dan Kazakhstan yang diculik dan didera oleh sekumpulan lelaki warga Afrika di sebuah kondominium di Bandar Sunway di sini, sejak seminggu lalu.

Ketua Polis Selangor, YDH DCP Dato' Khalid bin Abu Bakar berkata, sebaik sahaja dua wanita itu dibebaskan, polis menahan lapan orang iaitu lima suspek ‘Awang Hitam’, seorang lelaki dan dua wanita tempatan yang berusia antara 21 dan 35 tahun, pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa dikatakan berkenalan dengan salah seorang suspek warga Afrika beberapa bulan lalu melalui Internet.

Katanya, wanita Kazakhstan itu datang ke negara ini pada 11 Disember lalu manakala wanita Filipina terbabit datang pada keesokan harinya untuk bertemu dengan suspek.

Beliau memberitahu, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mangsa dijemput oleh empat lelaki warga Afrika yang dikatakan rakan suspek sebelum dibawa ke Kondominium Mentari Court.

“Mangsa kemudian dikurung, diikat dan didera oleh suspek dan rakannya selama lima hari sebelum dilepaskan di tepi jalan di kawasan Bandar Sunway pada Khamis lalu,” katanya selepas merasmikan pondok bit polis di Jalan Kekwa, Puchong Perdana di sini hari ini.

Tambah Khalid, suspek turut menghubungi kakak wanita Filipina itu yang berada di Jepun untuk meminta wang tebusan sebanyak tiga juta Yen jika mahu suspek dibebaskan dengan selamat.

Bagaimanapun, Khalid berkata, kakak mangsa tidak menyerahkan wang tersebut sebaliknya memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Beliau memberitahu, hasil soal siasat ke atas mangsa yang ditinggalkan di tepi jalan, polis telah menyerbu beberapa buah rumah di Bandar Sunway dan Taiping, Perak.

“Ketika serbuan dilakukan di sebuah unit kondominium Mentari Court, polis menemui beberapa barangan berharga milik suspek termasuk komputer riba,” katanya.

Sementara itu, sumber polis memberitahu, berlaku masalah komunikasi antara suspek dengan keluarga wanita Kazakhstan terbabit hingga menyebabkan mereka melepaskan wanita itu.

Katanya, wanita Kazakhstan yang berusia 42 tahun itu kemudiannya pergi ke sebuah hotel di Puduraya dan berjaya diselamatkan pihak polis.

 

ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 2.46 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM