Masuk Adalah Percuma Datanglah Beramai Ramai Ke Pertunjukan Tatu Pdrm 2011
Bukit Aman, 21 April 2011- " Masuk adalah Percuma !! Datanglah beramai-ramai. Semua masyarakat dijemput hadir bagi menyaksikan persembahan TATU PDRM 2011 yang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 April 2011 hingga 30 April 2011 jam 8.00 malam kerana pelbagai persembahan dan aksi menarik yang pasti menghiburkan anda semua", kata YDH DCP Dato' Wira Muhammad Sabtu bin Osman, Tim. Pengarah KDN/KA (Kepolisan / Pencegahan Jenayah) semasa mengadakan sidang media di sini hari ini.
Beliau menyeru kepada orang ramai supaya datang awal ke pertunjukan tersebut serta digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan disarankan agar mematuhi kawalan lalu lintas oleh Polis Trafik.
Pertunjukan
TATU PDRM 2011 yang diadakan pada kali ini, bertujuan untuk mengeratkan
hubungan dan rasa hormat di antara masyarakat setempat dengan Polis
Diraja Malaysia. Tambahnya lagi, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri /
Ketenteraman Awam (KDN/KA) telah diamanahkan untuk menganjurkan
pertunjukkan kali ini.
Menurut
beliau, pertunjukan TATU PDRM pada 29 April 2011 adalah dikhaskan untuk
VVIP dan seluruh warga PDRM manakala pertunjukkan pada 30 April 2011
adalah terbuka kepada orang ramai.
Pelbagai
persembahan menarik akan dipertunjukan semasa persembahan tersebut yang
turut mempamerkan kemahiran, kecekapan, kesungguhan dan semangat
pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia dalam melaksanakan tugas
selain dapat menghiburkan semua penonton yang hadir.
Pelbagai cawangan / unit dalam PDRM yang melibatkan 1400 anggota akan membuat persembahan tersebut, khususnya aksi istimewa Unit Elit PDRM iaitu Komando 69 dan Unit Tindakan Khas. Selain itu juga Pertunjukan Akrobatik Bermotosikal, aksi dari Unit K9, JSJ, Unit Berkuda, Kawad Patung, Kawad Tanpa Perintah, Pancaragam, Badan Seni Budaya, Persembahan Lampu Laser dan pelbagai pertunjukkan lain akan menanti anda.
Dengan wujudnya pertunjukkan TATU PDRM 2011 tersebut, sekaligus dapat mencerminkan satu gerak saraf oleh PDRM supaya lebih dikenali di mata masyarakat. Secara langsung, ia menyokong dasar 'Community Policing' oleh PDRM agar dapat diterima secara lebih terbuka ke arah membina keyakinan orang ramai. Seterusnya PDRM berupaya mendapat penghormatan serta sanjungan daripada masyarakat.
Katanya, bagi merealisasikan matlamat ini, semoga pertunjukkan kali ini dapat meyakinkan bahawa PDRM telah bersiap siaga untuk menghadapi sebarang ancaman sepertimana pendekatan YDH Tan Sri Ketua Polis Negara dalam Konsep 4P yang telah dilancarkan baru-baru ini.
Beliau turut mengingatkan kepada orang ramai supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga terutamanya kanak-kanak. Bagi yang memerlukan bantuan atau sebagainya bolehlah berhubung terus dengan mana-mana pegawai dan anggota PDRM yang bertugas pada hari tersebut.

YDH DCP Dato' Wira Muhammad Sabtu bin Osman semasa mengadakan Sidang Media....

YDH DCP Dato' Wira Muhammad Sabtu bin Osman menunjukkan Banting TATU PDRM 2011....
Wartawan : L/Kpl Norliza Binti Basrah
Jurugambar : Konst. Raymond Bin Martin
Penyunting : ASP Foo C.S