Marin Pontian Rampas Rokok Seludup Bernilai Rm143 851
Pontian, 1 Okt - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 15,400 batang rokok pelbagai jenis membabitkan nilai rampasan sebanyak RM143,851 dalam serbuan di Jeti Nelayan Sungai Sanglang, di sini, awal pagi tadi.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata serbuan tersebut adalah hasil maklumat dan intipan oleh pasukannya selama beberapa hari.
“Ketika serbuan, beberapa suspek sedang memungah kotak yang mengandungi rokok seludup dari sebuah bot ke kereta Toyota Estima.
“Kesemua suspek berjaya melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran sejurus menyedari kehadiran pihak polis,” katanya.
Kesemua rokok, sebuah kereta serta bot dengan enjin sangkut dibawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah 2 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.