Sg. Besi - 18 November 2007 - Malam Mesra warga Persatuan Pegawai Polis Pangkat Rendah (PPRPD) Polis Diraja Malaysia Bersama Ketua Polis Negara telah berlangsung di Dataran Perumahan PDRM Desa Tasik Sg. Besi Kuala Lumpur
Ketibaan Tan Sri Musa Dato' Hj. Hassan Ketua Polis Negara bersama Puan Sri Juriah Dato' Ahmad disambut oleh Presiden PPRPD Malaysia Sub Insp. Jamal Abdullah bersama-sama barisan Exco PPRPD Malaysia.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dato' Zul Hasnan Najib Baharudin Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC I Mohmad Salleh Timbalan Ketua Polis Selangor dan ACP Ahmad Amir Mohd Hashim Ketua Polis Cheras.
Lebih 4000 warga PPRPD hadir pada malam itu. Mereka bukan sahaja yang tinggal di Perumahan PDRM Desa Tasek Sg. Besi, malahan para perwakilan dari seluruh negara.
Menurut Sub Insp. Jamal, segala persiapan dan makanan yang dihidangkan pada malam itu adalah di masak sendiri oleh warga PPRPD secara bergotong royong.
"Khemah kami pasang sendiri, kerusi meja kami susun sendiri malahan makanan yang dihidangkan juga kami masak sendiri secara bergotong royong", kata Sub Insp. Jamal ketika berucap pada majlis itu.
"Kami sentiasa menyahut seruan pucuk pimpinan pasukan. Contohnya malam ini, kami semaikan kembali semangat gotong royong atau 'team work' dalam menjaya sesuatu acara".
"Majlis ini merupakan pembuka ruang kepada warga PPRPD berjumpa dan bercakap secara lebih dekat dengan Ketua Polis Negara dan pucuk pimpinan yang lain", ujar Sub Insp. Jamal lagi.
Pada malam itu seramai lapan orang anggota polis yang mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas menerima sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Tan Sri Musa Dato' Hj. Hassan dan juga Puan Sri Juriah Dato' Ahmad.
Pada majlis itu, Tan Sri Musa berharap semua persatuan penduduk PDRM mengikuti langkah yang diambil oleh Persatuan Penduduk PDRM Desa Tasek dengan mengadakan acara sedemikian dalam usaha mengeratkan hubungan baik yang telah sedia terjalin.
"Saya ingin menyeru kepada Persatuan Penduduk Perumahan PDRM yang lain di seluruh negara, agar mencontohi pendekatan yang telah diambil oleh Persatuan Penduduk Perumahan PDRM Desa Tasek Sg. Besi ini dalam usaha mendekatkan dan mengeratkan lagi hubungan di antara semua peringkat pangkat pegawai dan anggota".
"Di sini saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada warga PDRM Desa Tasek yang telah menjayakan majlis malam ini dengan meriahnya. Semoga akan diadakan lagi pelbagai acara yang boleh memupuk semangat kekeluargaan di antara kita".
Demikian kata Tan Sri Musa dalam ucapannya yang amat berpuas hati dengan kejayaan penganjuran majlis pada malam itu.
Pada malam itu, Tan Sri Musa dan Puan Sri Juriah turut mendendangkan beberapa buah lagu menghiburkan para hadirin dengan diiringi Kumpulan 'City Cops' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Warga Kerja Malam Mesra PPRPD Bersama KPN bergambar kenangan bersama Tan Sri Musa diakhir majlis.

Tan Sri Musa dan Puan Sri Juriah menyampaikan sumbangan kepada anggota yang cedera ketika bertugas.