Majlis Sempena Persaraan Ketua Polis Singapura
Kuala Lumpur - 20 Januari 2010. Ketua Polis Singapura, Komisioner Polis Tan Sri Khoo Boon Hui telah dilahirkan pada tahun 1954. Beliau memulakan kerjaya dalam polis pada tahun 1977. Sepanjang penglibatan beliau dalam kerjaya kepolisan, beliau telah memegang beberapa jawatan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Singapura. Antara jawatan yang disandang beliau ialah Director of Strategic Planning pada tahun 1987, Police Chief of Staff tahun 1990, Director Criminal Investigation Department pada tahun 1991 dan Deputy Commissioner of Police pada tahun 1995. Pada bulan Julai 1997, beliau telah dilantik sebagai Ketua Polis Singapura.
Sepanjang perkhidmatan beliau, beliau telah menerima beberapa anugerah dari negara-negara luar. Pada bulan April tahun 2003, beliau telah dianugerahkan Panglima Gagah Pasukan Polis (Kehormat) oleh Yang di-Pertuan Agong dan pada bulan Ogos 2005, beliau sekali lagi dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran 'Tan Sri'.Bagi menghargai sumbangan Tan Sri Khoo Boon Hui dalam mengeratkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dan Polis Republik Singapura, sempena persaraan beliau, YDH Ketua Polis Negara telah meraikan beliau dalam satu majlis yang diadakan di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur pada 19 Januari 2010.
Majlis 'Mess Night' telah diadakan di Banquet Hall, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras, bermula pada jam 8.00 malam.
Tetamu utama ialah YDH Tan Sri Khoo Boon Hui bersama Puan Sri Betty Au. Turut hadir ialah Y.Bhg. T.Jasudasen, Duta Besar Singapura di Malaysia, DCP Ng Joo Hee dan isteri, Puan Sim Bee Kim serta delagasi dari Polis Republik Singapura.
YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara dan Puan Sri Juriah Binti Dato' Ahmad bersama YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara dan Puan Sri Hajah Suriati Binti Md. Sobri telah hadir di malam 'Mess Night' itu. Turut hadir ialah YDH Dato'-Dato' Pengarah Polis Diraja Malaysia, YDH Dato'-Dato' Timbalan Pengarah, Ketua-Ketua Polis Negeri serta Komandan-Komandan Pusat Latihan PDRM.
Di majlis itu juga, YDH Ketua Polis Negara dan isteri telah bertukar-tukar cenderahati dengan YDH Ketua Polis Singapura dan isteri.
Pada 20 Januari 2010, jam 9.30 pagi, YDH Tan Sri Khoo Boon Hui dan delegasi Polis Republik Singapura telah mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Ketibaan beliau telah di sambut oleh YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara dan YDH Dato'-Dato' Pengarah Polis Diraja Malaysia.
YDH Tan Sri Musa telah meluangkan masa beramah mesra dengan YDH Tan Sri Khoo Boon Hui di pejabat beliau sebelum upacara taklimat yang diadakan di Auditorium Tingkat 16, Bukit Aman. Selepas itu, delegasi YDH Tan Sri Khoo Boon Hui telah mengadakan lawatan ke Muzium PDRM dan majlis jamuan makan tengahari di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman.
Bermula 1 Februari 2010, Tan Sri Khoo akan dilantik sebagai Senior Deputy Secretary di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura.Tan Sri Khoo juga akan memantau Home Team Academy (HTA) dan berkhidmat sebagai co-Chairman dengan Permanent Secretary dalam HTA Board Governors. Tan Sri Khoo yang dilantik sebagai Presiden Interpol pada tahun 2008, akan terus mengisi tanggungjawabnya sebagai Presiden Interpol sehingga akhir tempoh pada tahun 2012.

Ketibaan YDH Tan Sri Khoo Boon Hui dan Puan Sri Betty Au di Maktab PDRM Kuala Lumpur disambut dengan pertunjukkan silat

Panji Utama PDRM diarak masuk ke dalam dewan

Majlis 'Mess Night' diadakan dengan penuh gemilang dan istiadat

dari kanan...Y.Bhg. T. Jasudasen, YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar dan DCP Ng Joo Hee

dari kiri...YDH CP Dato' Abdul Razak bin Haji Bokhari, Pengarah Pengurusan bersama Datin A'ain Zubaidah binti Haji Bahari dan YDH CP Dato' Hussin bin Haji Ismail, Pengarah Jabatan KDNKA bersama Datin Nur Habibah binti Halim

Antara Timbalan Pengarah, Ketua Polis Negeri dan Komandan yang hadir...

YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan menyampaikan cenderahati kepada YDH Tan Sri Khoo Boon Hui

Cenderahati daripada YDH Tan Sri Khoo kepada YDH Tan Sri Musa

Penyampaian cenderahati daripada Puan Sri Juriah kepada Puan Sri Betty Au

YDH Tan Sri Khoo Boon Hui bersama Puan Sri Betty Au berpadu suara menyampaikan dua buah lagu

Sebelum meninggalkan Maktab PDRM Kuala Lumpur, YDH Tan Sri Khoo diberi penghormatan memimpin pancaragam PDRM

Lawatan ke Bukit Aman...memberi tabik hormat kepada Kawalan Kehormatan

Memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan..