Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah
Kuantan - 07 Oktober 2007. Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Pecah Rumah Sempena Musim Perayaan 2007 Peringkat Kontinjen Pahang telah dirasmikan oleh YB. Dato' Fu Ah Kiow, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Kuantan di Atrium 1, Kuantan Parade, Pahang.
Hadir di majlis tersebut, YDH Datuk Ayob bin Mohamed, Ketua Polis Pahang, YDH Dato' Robiah binti Abdul Ghani, Timbalan Ketua Polis Pahang, Ketua-ketua Jabatan PDRM, Ketua-Ketua Polis Daerah, Pegawai-pegawai Kanan PDRM, Dif-dif jemputan serta masyarakat setempat.
Kempen Pencegahan Jenayah ini diadakan bagi menanam, memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan mereka dalam memerangi jenayah. Selain itu, ianya akan dapat merapatkan lagi kerjasama yang telah terjalin antara masyarakat dan polis. Selain itu, objektif program ini ialah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan pihak polis dalam menangani jenayah dan sebagainya dalam konteks 'service delivery' PDRM Pahang kepada masyarakat. Ianya juga akan dapat mendidik masyarakat agar bersama-sama memerangi jenayah, penyalahgunaan dadah termasuk masalah sosial.
Program ini juga diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan pihak polis dalam menangani jenayah, meringankan beban pihak polis dengan menyerahkan sebahagian tanggungjawab menjaga keamanan/ketenteraman kepada masyarakat dan mewujudkan perasaan tanggungjawab bersama (Shared responsibility) dalam menangani masalah jenayah.
Di majlis ini juga, Pejabat Ahli Parlimen Kuantan telah menyumbangkan sebanyak 20 papan iklan 'Bersama Mencegah Jenayah' yang akan dipasangkan disekitar Negeri Pahang. Majlis ini juga dimeriahkan dengan gimik pelancaran oleh Unit Tindakan Khas (UTK) yang diketuai oleh DSP M.V. Serikumar bersama anggota dan juga dari Unit Udara PDRM. Selain itu dipertontonkan kecekapan Unit Tindakan Cepat (UTC) Kontinjen Pahang bersama bantuan dari anggota Skim Ronda Sukarelawan (SRS) menangkap penjenayah yang memecah masuk rumah. Diakhir majlis, YB Dato' Fu Ah Kiow dengan diiringi YDH Datuk Ayob bin Mohamed telah melawat gerai-gerai pameran dari Cawangan Trafik, Hal Ehwal Awam, Jabatan Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Gimik Pelancaran...YB Dato' Fu Ah Kiow, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Kuantan menerima skrol 'Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Sempena Musim Perayaan 2007'

YDH Datuk Ayob bin Mohamed, Ketua Polis Pahang menerima replika 'Bersama Mencegah Jenayah' daripada YB. Dato' Fu Ah Kiow, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri