Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Mou Antara Pdrm Dan Utm
UTM
City Campus - 28 Mei 2008. Majlis Menandatangani Memorandum
Persefahaman (MoU) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) telah berlansung di Dewan Jumaah, UTM City
Campus, Kuala Lumpur.
Memorandum
Persefahaman (MoU) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) telah ditandatangani oleh YDH DIG Dato' Ismail
bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara dan Y.Bhg. Prof. Ir. Dr. Siti
Hamisah bt. Tapsir, Timbalan Naib Canselor (Akademik &
Antarabangsa).
Hadir
sama di majlis tersebut ialah YDH CP Dato' Abdul Razak bin Hj. Bokhari,
Pengarah Pengurusan PDRM, Y.Bhg. Prof. Samsudin bin Sakrani, Dekan
Fakulti Sains UTM, YDH Timbalan-timbalan Pengarah PDRM, Pegawai-pegawai
Kanan PDRM dan Pegawai-pegawai Kanan UTM.
Majlis
yang diadakan ini merupakan satu 'Milestone' sejarah didalam
memperkasakan lagi penyampaian perkhidmatan berkualiti dari segi proses
penyiasatan polis. MoU ini adalah bertujuan untuk meningkatkan
kerjasama akademik dan aktiviti penyelidikan kimia, terutamanya dalam
bidang Sains Forensik. Penggunaan Sains Forensik dalam penyiasatan akan
membantu tugas-tugas Pegawai Penyiasat atau risikan terutama didalam
proses pengecaman bahan bukti dan mengesan penjenayah serta mangsa.
Majlis
MoU pada pagi ini adalah kemuncak kepada hasil daripada perbincangan
dan kerjasama yang melangkaui jangka waktu yang panjang antara PDRM dan
UTM yang telah dirintis sejak tahun 2003 lagi. Skop kerjasama MoU ini
adalah meliputi :-
1. Penerimaan
pelajar-pelajar dari Fakulti Sains UTM, khasnya dari Jabatan Kimia untuk
menjalankan Latihan Industri di Maklmal Forensik PDRM.
2. Perlantikan Pensyarah UTM sebagai Pakar Rujuk kepada Makmal Forensik PDRM.
3.
Perlantikan Pegawai-pegawai Makmal Forensik PDRM sebagai Pemeriksa Luar
kepada pelajar-pelajar Sarjana Sains Kimia dan Forensik di UTM.
4. Penerokaan bidang penyelidikan yang baru selaras dengan bidang Sains Forensik.
5. Program pertukaran data rujukan, maklumat akademik dan literatur.
6. Penggunaan bersama kemudahan makmal penyelidikan dan perpustakaan.
Dalam
ucapan oleh YDH DIG Dato' Ismail bin Haji Omar, beliau berharap
kerjasama dan usaha ini bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan
penyiasatan polis tetapi juga mampu melahirkan modal insan yang pakar
dalam bidang Sains Forensik didalam negara ini supaya sistem keadilan
jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna dan memenuhi ekspektasi
masyarakat. Beliau juga berharap agar pakar-pakar forensik UTM dan
Makmal Forensik PDRM sentiasa bertukar-tukar pengetahuan dan berusaha
secara inovatif dan lebih kreatif dalam menemui hasil-hasil kajian yang
dapat membantu dalam penyiasatan polis, meningkatkan martabat serta imej
organisasi khasnya dan negara amnya pada masa akan datang.

Hadir...antara Pegawai-pegawai Kanan PDRM yang hadir

Pegawai-pegawai Kanan UTM

Ucapan oleh YDH DIG Dato' Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara

MoU...dari
kanan, Y.Bhg. Prof. Samsudin bin Sakrani, Dekan Fakulti Sains UTM,
Y.Bhg. Prof. Ir. Dr. Siti Hamisah bt. Tapsir, Timbalan Naib Canselor
(Akademik & Antarabangsa), YDH DIG Dato' Ismail bin Haji Omar,
Timbalan Ketua Polis Negara dan YDH CP Dato' Abdul Razak bin Haji
Bokhari, Pengarah Pengurusan PDRDM.

Cenderahati...YDH
DIG Dato' Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis
Negara menyampaikan cenderahati kepada Y.Bhg. Prof. Ir. Dr. Siti Hamisah
bt. Tapsir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa).