Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Negara 2008
Paroi, Negeri Sembilan - 1 Jun 2008. Kontinjen Negeri Sembilan telah diberi kepercayaan menjadi tuan rumah Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Negara 2008. Kejohanan ini telah berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan serta Center Court, Paroi, Negeri Sembilan bermula dari 29 Mei 2008 dan tamat pada 1 Jun 2008.
Majlis Perasmian dan Penutupan Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Negara 2008 telah disempurnakan oleh YDH P/SACI Dato' Osman bin Hj. Salleh, Ketua Polis Negeri Sembilan.
Sebanyak 21 pasukan telah mengambil bahagian terdiri daripada semuaKontinjen, Briged Tengah, Briged Utara, Briged Tenggara, Briged Sarawak, PULAPOL KL dan PULAPOL Ayer Hitam. Pertandingan telah dibahagikan kepada empat acara iaitu Acara Berpasukan, Acara Regu Bawah 22 Tahun (Terbuka), Acara Regu (Terbuka) dan Acara Regu (Veteran). Sepanjang kejohanan ini berlangsung,pertandingan ini dijalankan mengikut undang-undang Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Pasukan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan peraturan-peraturan lain yangtelah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengelola.Jawatankuasa Pengelola pula dibantu oleh Pengelola Sepaktakraw PDRMdengan menyediakan pengadil-pengadil yang bertauliah mulai peringkat awal hingga akhir yang terdiri daripada kalangan Pegawai, Anggota Pangkat Rendah dan Pegawai Awam PDRM.
Sukan sepaktakraw adalah satu sukan yang mempunyai keistimewaanya yang tersendiri kerana sukan ini adalah merupakan permainan tradisional yang wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Oleh itu, sepertimana sukan yang lain, sukan sepaktakraw memerlukan bakat, kesungguhan, kecergasan dan latihan yang berterusan serta kesabaran yang tinggi untuk menentukan kemenangan dalam sesuatu pertandingan.
Oleh kerana sukan sepaktakraw adalah sukan berkumpulan, persefahaman sesama pemain amatlah diperlukan. Justeru itu, sukan sepaktakraw adalah merupakan pemangkin dalam menguji disiplin, kecekalan dan semangat juang dikalangan pemain-pemain. Ini adalah seiring dengan wawasan pasukan untuk melahirkan pegawai dan anggota yang berdisiplin, cergas dan mempunyai semangat juang yang tinggi ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab sesuai dengan tuntutan semasa.
Diharap kejohanan ini bukan sahaja sebagai satu pertandingan, tetapi juga sebagai jambatan bagi mengeratkan hubungan setiakawan, hubungan mesra dan dapat mempamirkan disiplin yang baik diantara peserta terlibat serta mewujudkan sesuatu budaya sukan dikalangan warga PDRM.
Kejohanan kali ini juga diharap akan meninggalkan kesan yang baik dan berupaya mencernakan semangat jitu yang tinggi dikalangan warga PDRM bukan sahaja di gelanggang permainan akan tetapi dijadikan amalan ketika menghadapi tugas harian.
Bagi Acara Berpasukan, Johan ialah Kontinjen Kedah, Naib Johan Kontinjen Terengganu, Ketiga ialah Kontinjen PULAPOL KL dan Keempat, Briged Utara.Acara Regu Bawah 22 Tahun (Terbuka), Johan disandang oleh Kontinjen Kuala Lumpur, Nain Johan, Johor, Ketiga Kontinjen Selangor dan Keempat Briged Tenggara. Bagi Acara Regu (Terbuka), Johan Kontinjen tuanrumah, Negeri Sembilan, Naib Johan Kontinjen Terengganu, Ketiga Bukit Aman dan Keempat Kontinjen Johor.Johan bagiAcara Regu (Veteran) ialah Kontinjen Terengganu, Naib Johan Kontinjen Kedah, Ketiga Kontinjen Negeri Sembilan dan Keempat ialah Kontinjen Johor.
Pemain Terbaik disandang oleh Fazil Abu Bakar dari Kedah, pemain Veteran Terbaik, Ahmad Awang juga dari Kedah, dan Pemain Belia Terbaik, Nik Khairul Azman dari Kuala Lumpur. Selain mencipta sejarah menjadi Johan dalam Acara Regu (Terbuka),pemain-pemain dari kontinjen tuan rumah, Negeri Sembilan juga diumumkan sebagai Tekong Terbaik, Azman Omar, Apit Kanan Terbaik, Nor Saiful Asrar dan Apit Kiri Terbaik, Kamarul Hisham.

Perasmian... YDH P/SACI Dato' Osman bin Hj. Salleh, Ketua Polis Negeri Sembilan merasmikan Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Negara 2008 di Majlis Perasmian dan Makan Malam di Hotel Royale Bintang Seremban.

Cenderahati...YDH Ketua Polis Negeri Sembilan menerima cenderahati daripada Y.Bhg. Pengarah Jabatan Belia dan SukanNegeri Sembilan (kiri)

Pemain dari Kontinjen Negeri Sembilan di pertandingan akhir Acara Regu Terbuka.

Pemain dari KontinjenTerengganu di pertandingan akhir Acara Regu Terbuka.

Sengit...Dua pemain dari Negeri Sembilan membuat tampanan libasan dari pemain Terengganu dalam pertandingan akhir Acara Regu Terbuka

Cipta sejarah ...Pemain-pemain serta Pengurus Pasukan dan Jurulatih Kontinjen Negeri Sembilan bergambar kenangan dengan YDH Ketua Polis Negeri Sembilan

Permain Terbaik bagi kategori Tekong Terbaik (dua dari kiri), Apit Kanan Terbaik (tiga dari kiri) dan Apit Kiri Terbaik (empat dari kiri) dari Kontinjen Negeri Sembilan.