Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Lima Lelaki Nigeria Anggota Sindiket E Mel Bank Palsu Ditahan

Diterbitkan: 16 Apr 2015 12.29 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
George Town, 15 April - Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan sindiket penghantaran e-mel bank palsu selepas menahan lima lelaki rakyat Nigeria di sekitar Lembah Klang dan Subang Jaya Isnin (13 April) lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/lima-lelaki-nigeria-anggota-sindiket-e-mel-bank-palsu-ditahan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 13:27 MYT


George Town, 15 April - Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan sindiket penghantaran e-mel bank palsu selepas menahan lima lelaki rakyat Nigeria di sekitar Lembah Klang dan Subang Jaya Isnin (13 April) lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang ACP Azmi Adam berkata gerakan memburu suspek dilancar susulan laporan daripada seorang wanita yang kerugian RM10,000 selepas mengemaskini maklumat akaun dari pautan e-mel bank palsu itu 9 April lepas.

"Alamat e-mel itu hampir sama seperti alamat bank sebenar dan apabila ia dibuka muncul satu pautan seakan-akan laman web rasmi bank yang meminta mangsa mengemaskini maklumat akaun mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata wanita berusia 48 tahun dari Tanjung Bunga itu hanya menyedari kehilangan wangnya apabila pihak bank menghantar maklumat transaksi ke dalam akaun individu lain menerusi SMS dalam tempoh kurang dari 30 minit.

"Pemindahan wang itu dilakukan secara berperingkat dan mangsa yang bekerja sebagai pegawai eksekutif sebuah kolej swasta itu segera menghubungi bank untuk menyekat transaksi baki wang yang terdapat dalam akaunnya," katanya.

Azmi berkata dalam serbuan antara pukul 10 pagi dan 12 tengah malam polis merampas sebuah komputer, dua komputer riba, 10 telefon bimbit, pelbagai jenis kad ATM bank tempatan dan wang tunai berjumlah RM400.

Beliau berkata suspek masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar sejak 2011 dan polis sedang menyiasat ketulenan dokumen perjalanan yang digunakan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya merujuk kepada bank terutama melibatkan urusan mengemaskini data peribadi dalam talian dan tidak membuka sebarang e-mel mencurigakan daripada individu tidak dikenali.

Polis percaya masih terdapat saki baki anggota sindiket itu yang bebas, katanya.

BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 16 Apr 2015 12.29 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM