Empat Disyaki Pengedar Dadah Diberkas
Kuala Krai, 15 April - Empat lelaki dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Puteh, Bachok dan Gua Musang.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata polis turut merampas pelbagai dadah yang dianggarkan bernilai RM206,750.
Tangkapan pertama dilakukan pada 1 tengah hari Isnin lepas di tepi jalan belakang berdekatan sebuah kedai lama di Jelawat, Bachok, melibatkan suspek berusia 28 tahun, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
"Pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek membawa kepada penemuan 27 paket plastik biru yang mengandungi 5,400 pil kuda yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan," katanya.
Tangkapan kedua dilakukan pada 4 petang semalam terhadap dua suspek berusia 17 dan 23 tahun dan turut merampas sembilan paket plastik cerah yang mengandungi 1,980 pil kuda di sebuah rumah di Taman Kobena, Pasir Puteh.
Dalam tangkapan ketiga, Mazlan berkata seorang suspek berusia 30 tahun ditahan di tepi Lebuhraya Gua Musang-Kuala Krai berdekatan Felda Chiku 3, Gua Musang pada 4 petang semalam.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki membawa kepada penemuan 570 pil kuda dan dadah jenis heroin seberat 12 gram yang diletakkan di tempat duduk belakang," katanya.
Beliau berkata penahanan semua suspek terbabit dipercayai dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Bachok, Pasir Puteh, Gua Musang dan Kota Bharu.
Katanya, suspek pertama ditahan reman tujuh hari bermula semalam manakala tiga suspek yang ditangkap semalam pula ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
BERNAMA