Lelaki Terbabit Dalam 10 Kes Jenayah Termasuk Bunuh Tumpas
Kuala
Lumpur, 20 Jun - Seorang penjenayah yang dikehendaki polis maut dalam
kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di kawasan Tanah
Perkuburan Islam Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor awal hari ini.
Azman Aini atau lebih dikenali Man Kecik, 30, yang dipercayai terbabit dalam 10 kes jenayah termasuk kes bunuh, maut selepas terkena dua tembakan pada dada dalam kejadian 1.15 pagi.
Menurut
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang, lelaki itu
bertindak melepaskan tembakan ke arah pasukan polis dalam usahanya mahu
meloloskan diri daripada kepungan pihak keselamatan.
Dia
melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis dan anggota terbabit
membalas sebagai tindakan mempertahankan diri, katanya ketika dihubungi
Bernama, di sini.
Menurut
Junaidi, polis merampas sepucuk pistol jenis separa automatik Styre 9mm
daripada lelaki yang mempunyai lima rekod jenayah itu termasuk kes
senjata api.
Mengulas
lanjut, Junaidi berkata kejadian berbalas tembakan itu tercetus setelah
polis melakukan serbuan ke dua buah rumah yang terletak bersebelahan di
Batu 15, Kampung Paya Jaras Dalam. Polis mengepung dua rumah terbabit dan mendapati ada empat lelaki termasuk Azman, katanya.
Menurutnya
polis berjaya menahan dua daripada mereka, seorang dapat meloloskan
diri manakala Azman pula ditembak mati ketika cuba melarikan diri.
"Polis
turut merampas sebuah motosikal jenis LC berwarna merah yang dilaporkan
hilang pada 21 Mei lalu di Sungai Buloh," katanya.
Sumber : BERNAMA