Pelajar Sekolah Antara 17 Ditahan Aktif Pecah Rumah
Nibong
Tebal, 20 Jun - Pelajar sekolah adalah antara 17 lelaki yang berjaya
diberkas polis kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah yang dilapor
menjadi-jadi di sekitar daerah Seberang Perai Selatan kebelakangan ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata mereka yang berusia 15 hingga 30 tahun itu merupakan anggota tiga kumpulan pecah rumah dikenali 'Geng Belalang', 'Geng Amirul' dan 'Geng Simpang Ampat.
"Kebanyakan
anggota kumpulan tersebut adalah pelajar sekolah dan baru hendak
berjinak-jinak dengan kegiatan berkenaan," katanya pada sidang media, di
sini hari ini.
Menurutnya
kesemua mereka diberkas dalam beberapa serbuan sejak awal bulan ini
hasil risikan pasukan petugas khas yang ditubuhkan dua bulan lalu bagi
membanteras kegiatan pecah rumah di sekitar daerah berkenaan.
"Dengan
tertangkapnya mereka, polis percaya dapat menyelesaikan 13 kes, yang
mana lima kes dilaporkan di Sungai Bakap, Simpang Ampat (tiga kes) dan
Nibong Tebal (lima kes)," katanya.
Menurutnya
polis juga memberkas 10 lagi individu termasuk pelajar sekolah kerana
membeli barangan hasil pecah rumah kumpulan terbabit.
Shafien berkata polis juga menemui semula sebahagian barangan yang dicuri tiga kumpulan itu dengan anggaran nilai RM70,000.
"Mereka ini ambil apa sahaja barang yang mereka nampak termasuk patung, kereta mainan dan tilam," katanya.
Menurut
Shafien, modus operandi tiga kumpulan terbabit hampir sama iaitu
mengumpil pintu dan memanjat bumbung serta menyasarkan rumah tiada
penghuni.
Hasil ujian air kencing mendapati 11 daripada suspek positif dadah jenis syabu, katanya.
Sumber : BERNAMA