Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Lelaki Terbabit Dalam 10 Kes Jenayah Termasuk Bunuh Tumpas

Published: 17 Jun 2014 5.47 AM Updated: 15 Aug 2026 6.28 PM
Dia melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis dan anggota terbabit membalas sebagai tindakan mempertahankan diri, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini...
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/lelaki-terbabit-dalam-10-kes-jenayah-termasuk-bunuh-tumpas
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 16:04 MYT

Kuala Lumpur, 20 Jun - Seorang penjenayah yang dikehendaki polis maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di kawasan Tanah Perkuburan Islam Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor awal hari ini.

Azman Aini atau lebih dikenali Man Kecik, 30, yang dipercayai terbabit dalam 10 kes jenayah termasuk kes bunuh, maut selepas terkena dua tembakan pada dada dalam kejadian 1.15 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang, lelaki itu bertindak melepaskan tembakan ke arah pasukan polis dalam usahanya mahu meloloskan diri daripada kepungan pihak keselamatan.

Dia melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis dan anggota terbabit membalas sebagai tindakan mempertahankan diri, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Menurut Junaidi, polis merampas sepucuk pistol jenis separa automatik Styre 9mm daripada lelaki yang mempunyai lima rekod jenayah itu termasuk kes senjata api.

Mengulas lanjut, Junaidi berkata kejadian berbalas tembakan itu tercetus setelah polis melakukan serbuan ke dua buah rumah yang terletak bersebelahan di Batu 15, Kampung Paya Jaras Dalam. Polis mengepung dua rumah terbabit dan mendapati ada empat lelaki termasuk Azman, katanya.

Menurutnya polis berjaya menahan dua daripada mereka, seorang dapat meloloskan diri manakala Azman pula ditembak mati ketika cuba melarikan diri.

"Polis turut merampas sebuah motosikal jenis LC berwarna merah yang dilaporkan hilang pada 21 Mei lalu di Sungai Buloh," katanya.

Sumber : BERNAMA

ArticlePublished 17 Jun 2014 5.47 AMUpdated 15 Aug 2026 6.28 PM