Lebih 11 000 Individu Dalam Ops Cantas Di Seluruh Negara
Kuala
Lumpur, 25 Sept - Polis menahan 11,873 individu dalam Ops Cantas Khas
yang dijalankan sejak 17 Ogos lalu di seluruh negara dan merampas
sebanyak 401 senjata termasuk senjata api.
Ketua
Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, sehingga hari ini,
polis telah memeriksa sebanyak 299,346 orang di seluruh negara.
"Kita
bukan sahaja melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, malah
melakukan pemeriksaan di pelbagai lokasi termasuk pusat hiburan, kawasan
panas, premis persendirian dan pemeriksaan dari rumah ke rumah.
"Kita
juga tahan beberapa individu di bawah Akta Pertubuhan 1966 membabitkan
anggota kongsi gelap dan ada yang ditahan atas kesalahan pelbagai
jenayah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Abdul
Jalil berkata polis turut merampas pelbagai senjata seperti parang,
pistol, pedang, kapak, pistol tiruan, senapang angin buatan sendiri,
'stun gun', tukul besi, kuku kambing, pisau dan juga peluru.
Katanya
polis turut memeriksa sebanyak 175,415 kenderaan sepanjang operasi itu
dan merampas 502 kenderaan yang dipercayai dicuri, termasuk 236
motosikal dan 233 kereta. - BERNAMA