Lawatan Sambil Belajar Peserta Kursus Institut Diplomasi Dan Hubungan Luar Negeri Ke Bukit Aman
Bukit Aman - 25 Mei 2010. Seramai 35 orang delegasi dari Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Bukit Aman pagi ini.
Seramai22 orang peserta antarabangsa yang terdiri daripada diplomat-diplomat, pegawai tentera dan polis dari luar negara, diketuai oleh Puan Azimah binti Mahmood, Penolong Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, telah disambut oleh YDH ACP Mohd Anuar bin Othman, Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) dan Pegawai-pegawai Kanan Bukit Aman.
Rombongan telah dibawa ke Auditorium PDRM, Tingkat 16 dan tayangan video 'Moving Towards Global Excellence' telah dipertontonkan kepada peserta-peserta kursus.
Seterusnya ceramah bertajuk 'Peranan dan Fungsi PDRM dalam menangani masalah jenayah di negara ini' telah disampaikan oleh Superintendan Yahya bin Ramli dan 'Pengurusan Krisis Jenayah Rentas Sempadan' pula disampaikan oleh DSP Suvinder Singh.
Dibangunkan pada 1 Julai 1991 di bawah Jabatan Perdana Menteri, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR)distruktur semula dan menjadi satu unit di Kementerian Luar pada tahun 2004.
Selaras dengan visinya untuk menjadi pusat tumpuan serantau dan pusat kecemerlangan latihan dan penyelidikan bagi pengajian diplomasi dan antarabangsa,IDFRtelah mengadakan program khusus untuk diplomat asing.
Program itu bermula pada 2007 dan sehingga kini, IDFR telah melatih lebih 1,000 diplomat asing dari 136 negara di seluruh dunia, terutama peserta dari negara-negara membangun di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) selain Asean, Rancangan Colombo dan negara-negara Komanwel.
IDFR juga telah menjemput penceramah terkemuka dalam Siri Ceramah Awamnya dan mereka termasuk bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Kofi Annan, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, bekas Perdana Menteri Pakistan Allahyarham Benazir Bhutto dan bekas ketua Pertubuhan Pembebasan Palestin Allahyarham Yasser Arafat.
Sebagai bahagian latihan di Kementerian Luar, IDFR sudah lama mengendalikan latihan kepada pegawai diplomatik Malaysia sebelum mereka ditugaskan di luar negara.
"Kami menyediakan sebanyak 30 kursus dan program tahunan di IDFR, dan kursus mengenai pidato umum, bahasa Inggeris bagi perhubungan awam dan diplomasi hanyalah sebahagian daripada program yang kita ada," katanya.
IDFR turut mengendalikan kursus bahasa asing (Perancis, Sepanyol, Arab dan Mandarin) bagi melengkapkan pegawai-pegawai tersebut dengan pengetahuan kerja dalam bahasa tertentu yang akan membantu mereka melaksanakan tugas rasmi di tanahair dan luar negara.
Kampus baru IDFR bernilai RM60 juta di Jalan Wisma Putra di sini dilengkapi sebuah auditorium yang mampu menampung sehingga 250 orang, 12 bilik kuliah dan latihan, sebuah perpustakaan yang memenangi anugerah dan 60 bilik asrama bertaraf tiga bintang.
Kemudahan lain termasuk dewan serbaguna yang boleh memuatkan 500 orang, sebuah galeri, sebuah kolam renang, gimnasium serta gelanggang tenis, skuasy dan badminton.

YDH ACP Mohd Anuar bin Othman, Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) bersama delegasi dari Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR)

Antara peserta kursus dari Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR)

Ceramah bertajuk 'Peranan dan Fungsi PDRM dalam menangani masalah jenayah di negara ini', disampaikan oleh Superintendan Yahya bin Ramli

'Pengurusan Krisis Jenayah Rentas Sempadan' (Transnational Crime)oleh DSP Suvinder Singh.

YDH ACP Mohd Anuar bin Othman menyampaikan cenderahati dari PDRM kepada Puan Azimah binti Mahmood, Penolong Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri.

Bergambar Kenangan di Auditorium PDRM, Bukit Aman