Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Ketua Polis Negara Minta Pengurus Gereja Buat Laporan

Diterbitkan: 10 Jun 2014 1.45 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis Diraja Malaysia telah meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh gereja sebagai langkah berjaga-jaga ekoran insiden tiga buah gereja dilempar bom petrol di Lembah Klang dalam tempoh 24 jam..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/ketua-polis-negara-minta-pengurus-gereja-buat-laporan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 23:44 MYT

Bukit Aman - 8 Januari 2010. Polis Diraja Malaysia telah meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh gereja sebagai langkah berjaga-jaga ekoran insiden tiga buah gereja dilempar bom petrol di Lembah Klang dalam tempoh 24 jam.

Kejadian pertama membabitkan Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic di Taman Melawati pada jam 12 tengah malam, disusuli Gereja Assumption Assunta, Petaling Jaya (jam 4 pagi) dan Gereja Chappel, Damansara (jam 8.00 pagi). Kejadian dipercayai ada kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald-The Weekly Catholic.

YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara meminta Pengurus Gereja di seluruh Malaysia menelefon beliau sekiranya menerima ugutan dari mana-mana pihak, supaya dia boleh arahkan pegawai-pegawainya untuk menjalankan siasatan. Ketua Polis Negara juga telah memberi nombor telefon beliau, 019-2823701 dalam satu sidang akhbar yang di adakan di Bilik Mesyuarat, Tingkat 30, Bukit Aman pada jam 11.30 pagi ini.

Hadir sama di sidang akhbar itu ialah YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri, Y.Bhg. Dato' Sri Mahmood bin Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara.

Terdahulu, YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan Y.Bhg. Dato' Sri Mahmood bin Adam telah diberi taklimat mengenai kes itu oleh YDH Ketua Polis Negara.

YDH Ketua Polis Negara juga juga memberi amaran keras kepada penulis blog dan penyebar SMS palsu supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan keselamatan. Katanya, perbuatan menerbit dan menyiarkan provokasi, menyebarkan khabar angin mengenai isu kalimah Allah dan cubaan membakar rumah ibadat harus dihentikan segera kerana dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

"Kita sedang memantau beberapa laman blog yang dikenal pasti menjadi 'batu api' termasuk mempengaruhi orang ramai menyertai perhimpunan haram atau sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan ketenteraman awam dan keselamatan negara", katanya lagi.

Sementara itu, YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri berkata, KDN memandang serius tiga insiden membaling bom pertol dan mengutuk sekeras-kerasnya  pihak yang bertanggungjawab melakukannya.

Katanya, pihaknya akan menggunakan semua peruntukan undang-undang termasuk untuk mengenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Ini bukan hal politik dan ini juga bukan hal peribadi tetapi melibatkan keselamatan. Jika terpaksa dan keadaan menjadi teruk, kita tidak teragak-agak untuk menggunakan apa jua cara termasuk ISA. Tindakan itu juga termasuk ke atas mereka yang melakukan demonstrasi yang boleh mencetuskan kekacauan. Ini penting dalam memastikan tiada sesiapa bertindak mengikut emosi" kata YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein.

Sementara itu, sejak pukul 6 petang semalam, rondaan ke semua gereja di seluruh negara telah dijalankan oleh MPV untuk memantau keselamatan tempat-tempat tersebut dan meningkatkan kawalan terhadap rumah-rumah ibadat yang lain.

Ketua Polis Negara Minta Pengurus Gereja Buat Laporan
YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri bersama YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara semasa Sidang Akhbar di Bukit Aman. Hadir sama ialah Y.Bhg. Dato' Sri Mahmood bin Adam, Ketua Setiausaha KDN dan YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara.

Ketua Polis Negara Minta Pengurus Gereja Buat Laporan
Antara wartawan-wartawan dari media massa dan elektronik yang hadir...

ArtikelDiterbitkan 10 Jun 2014 1.45 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM