Ketua Polis Negara Minta Pengurus Gereja Buat Laporan
Bukit
Aman - 8 Januari 2010. Polis Diraja Malaysia telah meningkatkan kawalan
keselamatan di seluruh gereja sebagai langkah berjaga-jaga ekoran
insiden tiga buah gereja dilempar bom petrol di Lembah Klang dalam
tempoh 24 jam.
Kejadian
pertama membabitkan Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic di Taman
Melawati pada jam 12 tengah malam, disusuli Gereja Assumption Assunta,
Petaling Jaya (jam 4 pagi) dan Gereja Chappel, Damansara (jam 8.00
pagi). Kejadian dipercayai ada kaitan dengan kontroversi penggunaan
kalimah Allah oleh majalah Herald-The Weekly Catholic.
YDH
Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara meminta
Pengurus Gereja di seluruh Malaysia menelefon beliau sekiranya menerima
ugutan dari mana-mana pihak, supaya dia boleh arahkan pegawai-pegawainya
untuk menjalankan siasatan. Ketua Polis Negara juga telah memberi
nombor telefon beliau, 019-2823701 dalam satu sidang akhbar yang di
adakan di Bilik Mesyuarat, Tingkat 30, Bukit Aman pada jam 11.30 pagi
ini.
Hadir sama
di sidang akhbar itu ialah YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein,
Menteri Dalam Negeri, Y.Bhg. Dato' Sri Mahmood bin Adam, Ketua
Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan YDH Tan Sri Ismail bin
Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara.
Terdahulu, YB
Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri
dan Y.Bhg. Dato' Sri Mahmood bin Adam telah diberi taklimat mengenai kes
itu oleh YDH Ketua Polis Negara.
YDH
Ketua Polis Negara juga juga memberi amaran keras kepada penulis blog
dan penyebar SMS palsu supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan
keselamatan. Katanya, perbuatan menerbit dan menyiarkan provokasi,
menyebarkan khabar angin mengenai isu kalimah Allah dan cubaan membakar
rumah ibadat harus dihentikan segera kerana dikhuatiri mencetuskan
ketegangan kaum di negara ini.
"Kita
sedang memantau beberapa laman blog yang dikenal pasti menjadi 'batu
api' termasuk mempengaruhi orang ramai menyertai perhimpunan haram atau
sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan ketenteraman awam dan
keselamatan negara", katanya lagi.
Sementara
itu, YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri
berkata, KDN memandang serius tiga insiden membaling bom pertol dan
mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang bertanggungjawab melakukannya.
Katanya,
pihaknya akan menggunakan semua peruntukan undang-undang termasuk untuk
mengenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Ini
bukan hal politik dan ini juga bukan hal peribadi tetapi melibatkan
keselamatan. Jika terpaksa dan keadaan menjadi teruk, kita tidak
teragak-agak untuk menggunakan apa jua cara termasuk ISA. Tindakan itu
juga termasuk ke atas mereka yang melakukan demonstrasi yang boleh
mencetuskan kekacauan. Ini penting dalam memastikan tiada sesiapa
bertindak mengikut emosi" kata YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun
Hussein.
Sementara
itu, sejak pukul 6 petang semalam, rondaan ke semua gereja di seluruh
negara telah dijalankan oleh MPV untuk memantau keselamatan
tempat-tempat tersebut dan meningkatkan kawalan terhadap rumah-rumah
ibadat yang lain.

YB
Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri bersama
YDH Tan Sri Musa bin Tan Sri Haji Hassan, Ketua Polis Negara semasa
Sidang Akhbar di Bukit Aman. Hadir sama ialah Y.Bhg. Dato' Sri Mahmood
bin Adam, Ketua Setiausaha KDN dan YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar,
Timbalan Ketua Polis Negara.

Antara wartawan-wartawan dari media massa dan elektronik yang hadir...