Kertas Siasatan Pps Dihantar Ke Ke Unit Pendakwaan Esok
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kertas siasatan kes itu dijangka siap sepenuhnya hari ini.
"Sejumlah 157 anggota PPS itu dibebaskan secara berperingkat semalam hingga pukul 10.30 malam tadi. Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer yang ditahan petang semalam juga telah dibebaskan pada pukul 7 pagi ini.
"Kami telah ambil keterangan daripada semua yang ditahan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat 21 pegawai polis kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.
Ahad lepas, polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas pasukan itu didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Rayer pula ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung PPS yang ditubuh kerajaan negeri pimpinan DAP itu.
Abdul Rahim berkata empat lelaki yang didapati positif dadah akan turut disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 manakala 11 lelaki yang mempunyai rekod jenayah juga akan disiasat mengikut kesalahan masing-masing.
"Mengenai sama ada polis akan tahan beberapa pemimpin dan anggota PPS yang lain, ia bergantung pada kertas siasatan kami. Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan dan jangan buat sebarang spekulasi," katanya apabila ditanya sama ada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga akan ditahan.
Ditanya berhubung dakwaan Phee bahawa beliau dilayan seperti penjenayah ketika ditahan, Abdul Rahim berkata polis bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
"Polis mengikut SOP lokap yang ditetapkan dan kami juga telah beri layanan yang terbaik kepada mereka. Jika beliau hendak cakap macam itu (dilayan seperti penjenayah), itu terpulang kepadanya," katanya.
Phee dalam laporan sebuah portal berita mendakwa beliau telah disoal siasat oleh polis selama empat jam dan dilayan seperti penjenayah.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata satu pasukan khas dari Bukit Aman akan menyiasat berkenaan tindakan seorang lelaki memaki hamun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman sosial Twitter lelaki berkenaan.
"Saya difahamkan lelaki itu memang berasal dan menetap di Pulau Pinang dan PDRM telah tubuhkan pasukan khas di Bukit Aman untuk siasat perkara itu dan kami akan bantu mereka (pasukan khas itu)," katanya.- BERNAMA