Kereta Curi Ditemui Polis Tahan Seorang Lelaki Di George To
George
Town, 19 Jun - Polis berjaya menemui semula sebuah Toyota Estima yang
dilapor hilang di Hotel Bayview, Batu Ferringhi pada 6 Jun lepas setelah
menahan seorang lelaki, Sabtu lepas.
Ketua
Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil risikan,
sepasukan anggota dari Balai Polis Datok Keramat menahan suspek berusia
33 tahun itu ketika dia memandu kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Rawana di sini kira-kira pukul 8.30 pagi.
"Suspek
juga telah menukar nombor plat kereta itu, bagaimanapun siasatan awal
mendapati nombor casis kereta yang dilapor hilang sepadan dengan kereta
yang dipandu lelaki itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata kereta berkenaan milik seorang lelaki dari Kuala Lumpur yang
datang bercuti di sini dan telah menginap di hotel berkenaan selama tiga
hari.
"Kehilangan
kereta berwarna perak itu disedari pada pukul 12.30 tengah hari dan
berdasarkan keterangan pemiliknya kereta itu ditinggalkan dalam keadaan
berkunci," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Gan
berkata polis turut menemui dua paket lutsinar serbuk hablur disyaki
dadah, empat gugusan kunci kenderaan lain dan alat pemintas penggera di
dalam kereta itu.
Beliau
berkata lelaki terbabit mempunyai empat rekod lampau melibatkan
kesalahan curi kenderaan dan dadah serta suspek dipercayai terlibat
dalam kegiatan curi kenderaan sejak enam bulan lepas.
"Kes
itu disiasat mengikut Seksyen 379(A)(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri
kereta dan sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun
atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit
kesalahan," katanya.
Sumber : BERNAMA