Senai - 9 Ogos 2009. Kejohanan Golf PDRM 2009 Piala Ketua Polis Negara telah berlangsung selama dua hari dari 8 hingga 9 Ogos 2009 . Kontinjen Johor telah diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kejohanan yang penuh berprestij ini dan telah berjalan dengan lancar dan jayanya.
Kejohanan telah diadakan di Palm Resort Golf & Country Club, Senai, Johor Bahru. Palm Resort Golf & Country Club telah dirasmikan oleh YAB Dato' Dr. Mahathir Mohamed, mantan Perdana Menteri Malaysia pada 8 Ogos 1995. Dengan keluasan 800 ekar dan mempunyai 54 lubang, ianya satu cabaran untuk menguji skil peminat-peminat golf. Palm Resort Golf & Country Club adalah pemenang bagi anugerah kategori 'Best Golf Resort' di Malaysia pada tahun 2006/7 oleh majalah Expatriate Lifestyle dan termasuk dalam 10 'Best Golf Resort' dalam Asia 2007 oleh Asian Golf Monthly.
Sepanjang tahun, Majlis Sukan PDRM telah berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti bersukan yang berprestij mengikut kalendar yang dirancang. Ini termasuk Kejohanan Golf Piala KPN yang dilihat semakin menarik minat warga PDRM menyertainya. Melalui sukan ini, PDRM akan dapat mengenal pasti warga PDRM yang berbakat dan berpontesi bagi mewakili PDRM khususnya di temasya sukan seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia mahupun Sukan SEA. Kejohanan Golf yang dianjurkan ini juga bermatlamat untuk mencari satu rumusan terbaik dalam meningkatkan mutu sukan ini.
Sukan golf adalah merupakan pemangkin dalam menguji disiplin, kecekalan, penguasaan minda dan semangat juang yang tinggi di kalangan pemain. Sesungguhnya keupayaan bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi merupakan manifestasi kebolehan sebenar seseorang pemain. Kejohanan ini juga diharap akan menjadi wacana di mana para peserta dapat berinteraksi, bersukan, di samping menjalin tali silaturahim demi memupuk semangat 'Esprit De Corps' yang sedia wujud.
Seramai 259 orang peserta yang mewakili 29 pasukan dari Jabatan PDRM, Kontinjen, Briged, Maktab dan Pusat Latihan Polis telah mengambil bahagian di dalam 4 acara yang dipertandingkan. Acara yang dipertandingkan ialah Gross Individu, Individu Nett, Gross Berpasukan dan Nett Berpasukan.
Majlis Perasmian dan Penutupan telah disempurnakan oleh YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara. Hadir sama ialah YDH DCP Dato' Mohd Mokhtar bin Hj Mohd Shariff, Ketua Polis Johor serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM dan para peserta.
Bagi Acara Gross Berpasukan, Johan ialah Kontinjen Johor yang diwakili oleh ACP Ruslan Hassan, ACP Zainuddin Yaakob, ASP Mohd Yusri Othman dan L/Kpl Ozali Udin. Naib Johan ialah Kontinjen Negeri Sembilan dan Ketiga ialah Kontinjen Perak.
Bagi Acara Nett Berpasukan, PULAPOL Ayer Hitam telah menjadi juara dengan mengumpul 551 mata dan diwakili oleh Sjn Zolkalnain Atan, P/Kpl Mohd Fadli Ramlan, P/Kpl Mohd Faizal Saad dan L/Kpl Mohd Redzuan Nayan. Naib Johan ialah Kontinjen Johor dengan 552 mata dan Ketiga, Kontinjen Kedah dengan 562 mata.
Bagi acara Gross Individu, Johan ialah ACP Zaki Masroh dari Kontinjen Negeri Sembilan, Naib Johan, Kpl Shahbudin ( Jabatan KDN/KA Bukit Aman) dan Ketiga, ASP Mohd Yusri Othman (Johor). Acara Nett Individu, Johan ialah Sopt. Ahmad Zainuddin Hasbullah dari Kontinjen Kedah, Naib JOhan, L/Kpl Murosolimaran dari Briged Utara dan Ketiga, P/Kpl Mohd Fadzli Ramlan dari PULAPOL Ayer Hitam.

Peserta sedang menunggu giliran untuk bermain di Cempaka dan Melati

YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar berganding dengan YDH DCP Dato' Mohd Mokhtar bin Haji Mohd Shariff

dari kiri...SAC II Dato; Abu Bakar Ahmad, YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, YDH DCP Dato' Mohd Mokhtar bin Haji Mohd Shariff dan YDH SAC I Dato' Osman bin Hj. Salleh

dari kiri...YDH DCP Dato; Acryl Sani bin Abdullah Sani, YDH CP Dato' Muhamad Fuzi bin Harun dan YDH SAC I Datuk Ab Razak bin Ab Ghani

Tee Off oleh YDH Timbalan Ketua Polis Negara

Ketua Polis Johor melakukan Tee Off

Meja utama di majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah

Antara YDH Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Komandan yang hadir...

Antara peserta-peserta yang hadir di Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah

PULAPOL Ayer Hitam telah menjadi juara dengan mengumpul 551 mata

Bagi Acara Gross Berpasukan, Johan ialah Kontinjen Johor
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel
Kejohanan Golf Pdrm 2009
Seramai 259 orang peserta yang mewakili 29 pasukan dari Jabatan PDRM, Kontinjen, Briged, Maktab dan Pusat Latihan Polis telah mengambil bahagian di dalam 4 acara..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/kejohanan-golf-pdrm-2009
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.