Kejayaan Demi Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pdrm Menumpaskan Sindiket Pengedaran Dadah
Bukit
Aman , 7 April 2011 - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM
telah berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah yang
didalangi warganegara asing semalam.
Serbuan di sebuah rumah
kedai di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan,
Selangor membuahkan hasil dengan tertangkapnya 2 lelaki warganegara
Pakistan berumur 28 dan 30 tahun dan rampasan dadah jenis 'high-grade
heroin' berjumlah RM110 juta.
Hasil serbuan juga mendapati suspek menggunakan kaedah dadah yang ditutupi selimut dan cadar 'comforter' untuk mengaburi prosedur pemeriksaan barang yang dibawa masuk ke negara ini melalui jalan laut.
Dadah-dadah
ini juga dipercayai diseludup untuk diagih dan dipasarkan kepada
sindiket warganegara Afrika di negara ini dan juga untuk pasaran di luar
Malaysia.
Kesemua tangkapan sedang disiasat di bawah seksyen
39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori
jika disabitkan kesalahan.
Kejayaan terbaru ini adalah hasil
daripada kegigihan usaha JSJN dan bantuan maklumat berterusan daripada
orang ramai bagi memastikan penyeludupan dadah ke negara ini terus
dibendung.

YDH CP Datuk Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah JSJN semasa mengendalikan sidang media bersama wartawan di Bukit Aman.
TERBONGKAR...YDH CP Datuk Noor Rashid menerangkan kaedah dan helah dadah ini disembunyikan.
Antara dadah-dadah yang berjaya dirampas semasa serbuan.
Kesemua barang rampasan yang dipamerkan pada sidang media JSJN.
Wartawan : Konst Irfan bin Bujang
Jurufoto : L/Kpl Muhammad Lukmanul Hakim
Penyunting : Insp. Md Aruwan bin Amilah