Jurujual Kereta Ditahan Polis Selepas Enam Tahun Gagal Dikes
SUNGAI
PETANI, 18 Januari 2012 (Bernama) -- Seorang jurujual kereta yang
melarikan diri selepas dipercayai terlibat dalam kes rogol dan bunuh
seorang gadis kira-kira enam tahun lalu dan gagal dijejaki oleh pihak
berkuasa, akhirnya ditahan polis semalam.
Suspek
yang berusia 31 tahun itu berjaya ditangkap sejurus tiba dari Perth,
Australia di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.
Lelaki
itu dibawa pulang dari KLIA dan kini ditahan reman selama tujuh hari
bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh seorang
eksekutif pemasaran Chee Gaip Yap, 25, di kawasan perumahan Kelab Cinta
Sayang di sini pada 14 Jan 2006.
Perintah
tahanan reman sehingga 23 Jan ini terhadap suspek yang juga anak
seorang ahli perniagaan bergelar Datuk diperoleh daripada Majistret Mohd
Khairul Hafizuddin Ramli di sini kira-kira pukul 10.30 pagi.
Sementara
itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah ACP Mohd Zakaria Ahmad
yang mengesahkan penahanan tersebut berkata polis cuba mengesan suspek
yang bertindak melarikan diri ke negara itu sejak 2006.
"Polis tidak pernah menutup kes ini dan sentiasa mengikuti perkembangan kes setiap dua minggu," katanya ketika dihubungi.
Katanya
polis juga bekerjasama dengan rakan setugas di negara itu bagi
mengawasi pergerakan suspek di semua lapangan terbang dan pintu masuk
negara.
"Bertindak
atas maklumat berkenaan, polis semalam telah menahan suspek di KLIA
selepas mendapat tahu dia telah masuk negara ini melalui penerbangan
dari Australia," katanya.
Katanya
kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek
kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar
untuk siasatan lanjut.
Difahamkan
suspek terbabit pernah ditahan polis kira-kira enam tahun lepas dan
dibebaskan dengan jaminan polis semasa menunggu keputusan ujian DNA
tetapi suspek bertindak melarikan diri ke Australia dan memegang taraf
penduduk tetap di sana sejak itu.
Mayat
Chee ditemui pada awal pagi 15 Jan 2006 dalam keadaan separuh bogel,
ditemui di Jalan Kelab Cinta Sayang dan dipercayai dirogol. Kejadian
berkenaan berlaku semasa Chee keluar berjoging bersama adik perempuannya
berusia 24 tahun.