Jenayah Babitkan Mangsa Wanita Di P Pinang Turun 15 Peratus
George
Town, 22 Nov - Indeks jenayah membabitkan wanita sebagai mangsa di
Pulau Pinang mencatat penurunan sebanyak 15 peratus dalam tempoh Januari
hingga Oktober lalu, berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua
Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata jenayah seperti
rogol, cabul kehormatan, penderaan pembantu rumah dan keganasan rumah
tangga menunjukkan penurunan sebanyak 73 kes berbanding lebih 80 kes
dilaporkan tahun lepas.
"Tahun
ini, kita turut berjaya menyelamatkan 33 gadis bawah umur yang
dijadikan mangsa pelacuran hasil serbuan di pusat-pusat hiburan seluruh
negeri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pasukan Ops Cantas
Wanita, di sini hari ini.
Beliau
berkata pasukan Ops Cantas Wanita yang diketuai seorang pegawai
berpangkat penolong penguasa polis (ASP) dan dibantu seorang inspektor
serta 18 anggota lain-lain pangkat itu, khusus mengendalikan kes jenayah
kekerasan membabitkan wanita dan remaja.
Katanya
anggota yang berjaya melepasi proses penapisan ketat itu telah
menjalani latihan khas selama dua minggu meliputi teknik serbuan,
pertempuran dan penggunaan pelbagai senjata api bagi memantapkan
keupayaan fizikal mereka.
"Mereka
ini juga akan dilengkapkan dengan pakaian dan senjata khas jenis HKMP5,
sama seperti pasukan lelaki bagi memudahkan kita mengendalikan kes
melibatkan penjenayah wanita," katanya.
Beliau
berkata sempena cuti sekolah ini pasukan itu turut akan ditempatkan di
pusat beli belah, kawasan rekreasi serta dalam pengangkutan awam
termasuk feri bermula minggu depan bagi meningkatkan kawalan keselamatan
orang awam.
Abdul
Rahim berkata setakat ini terdapat 1,200 polis wanita berkhidmat di
Pulau Pinang dan pihaknya berhasrat merekrut lebih ramai anggotanya
untuk diserap ke dalam pasukan khas berkenaan.
Katanya
menerusi Ops Cantas bermula pada 17 Ogos hingga 20 Nov lepas, polis
menahan 1,467 suspek dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah
di negeri ini dan 181 daripadanya adalah anggota kumpulan kongsi gelap.
Katanya polis
turut merampas 11 pucuk pistol, sebutir bom tangan, enam pucuk senjata
api palsu dan 66 buah kenderaan serta pelbagai senjata tajam dipercayai
diguna untuk tujuan jenayah.
Sumber : BERNAMA