Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Infrastruktur Unit Udara Baru Mantapkan Pdrm

Diterbitkan: 11 Jun 2014 6.10 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
'Yakinlah bahawa patik dan pacal-pacal warga PDRM akan sentiasa bersiap sedia dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan ini dengan sebaik mungkin, bagi memastikan keamanan dan ke..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/infrastruktur-unit-udara-baru-mantapkan-pdrm
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 07:40 MYT

Ipoh , 27 Julai 2011 - "Sukacita untuk patik menyatakan di sini bahawa, pada masa ini, suasana keseluruhan di Negeri Perak khususnya, dan negara kita Malaysia amnya berada dalam keadaan yang stabil dan aman. Yakinlah bahawa patik dan pacal-pacal warga PDRM akan sentiasa bersiap sedia dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan ini dengan sebaik mungkin, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara terus berkekalan. Namun begitu, patik amat berharap kepada ahli masyarakat di negeri ini, untuk bersama-sama berganding bahu bagi mewujudkan satu suasana yang aman dan selamat," ujar YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara dalam ucapan merafak sembahnya sempena Majlis Perasmian Pangkalan Latihan Unit Udara Polis, Ipoh, hari ini.


Terdahulu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, yang telah meluluskan peruntukan untuk pembinaan kompleks Pangkalan Latihan Unit Udara Polis, Ipoh ini dan juga kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Perak, yang telah memberikan sokongan dan bantuan dalam menjayakan projek ini.


Kompleks Pangkalan Latihan Unit Udara Polis, Ipoh, Perak yang dibina dengan kos sebanyak RM109 juta telah mula diduduki oleh warga Unit Udara Polis, Ipoh pada 1 Mac 2011 yang lalu.


Sebelum terbinanya kompleks yang baru ini, warga Unit Udara Polis, Ipoh menjalankan operasi pentadbiran mereka di bangunan lama yang terletak di hadapan jalan masuk ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.


Kompleks baru Pangkalan Latihan Unit Udara Polis, Ipoh ini mula dirancang pembinaannya di bawah Rancangan Malaysia ke-6 lagi, namun terpaksa ditangguh kerana berhadapan dengan beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan.


Walau bagaimanapun, cadangan pembinaannya telah dikemukakan semula kepada kerajaan pada 26 Mei 2004 di bawah Rancangan Malaysia ke-9 dan dipersetujui supaya didirikan di kawasan yang berkeluasan 40 ekar ini yang merupakan bekas tapak tanah Batalion 3, Pasukan Polis Hutan.


Pangkalan Latihan Unit Udara Polis, Ipoh telah ditubuhkan pada 4 Julai 1991 dan mula beroperasi di Kem PPH Lapangan Terbang Ipoh pada 24 Julai 1991 dengan tujuan untuk melatih pegawai kanan polis sebagai Juruterbang Unit Udara Polis dengan memperolehi Lesen Penerbangan Persendirian (Private Pilot's Licence) dan juga melatih anggota polis sebagai Pemerhati Udara.


Majlis perasmian pada hari ini disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah dan turut dihadiri permaisuri baginda, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Bainun.


Turut hadir, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Bin Raja Muda Musa bersama permaisuri, DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Noor Mahani Binti Raja Haji Shahar Shah, YAB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak, YB Dato' Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Dato' Seri Dr. Abdul Rahman Bin Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YDH CP Dato' Salleh bin Mat Rasid, Pengarah Jabatan KDN/KA, Pegawai-pegawai Kanan PDRM dan tetamu-tetamu jemputan.

Infrastruktur Unit Udara Baru Mantapkan Pdrm
MESRA...
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah bersama YDH IG Tan Sri Hj. Ismail bin Hj. Omar

Infrastruktur Unit Udara Baru Mantapkan Pdrm
TERTIB...
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah memeriksa perbarisan kawalan kehormatan.

Infrastruktur Unit Udara Baru Mantapkan Pdrm
Ucapan merafak sembah oleh YDH IG Tan Sri Hj. Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara.

Infrastruktur Unit Udara Baru Mantapkan Pdrm
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah menandatangani plak perasmian Pangkalan Latihan Unit Udara Polis Ipoh dan turut disaksikan Ketua Polis Negara dan YB Dato' Lee Chee Leong, Timbalan Menteri dalam Negeri.


Infrastruktur Unit Udara Baru Mantapkan Pdrm
Infrastruktur Unit Udara Baru Mantapkan Pdrm
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah berkenan melawat pameran-pameran Unit Udara PDRM dan VAT 69 Komando.

Infrastruktur Unit Udara Baru Mantapkan Pdrm
Sesi Bergambar Kenangan bersama DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.



Wartawan      :    L/Kpl Irfan Bujang
Jurufoto        :    L/Kpl Mohd Helmi & Konst Raymond
Penyunting    :    ASP Foo CS.

ArtikelDiterbitkan 11 Jun 2014 6.10 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM