Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan Polis Diraja Malaysia Tahun 2011
Bukit Aman, 29 Julai 2011 - Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Polis Diraja Malaysia Tahun 2011 telah berlangsung di Dewan Serbaguna, Masjid Bukit Aman bermula dari 28 hingga 29 Julai 2011.
Majlis Perasmian Penutupan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Polis Diraja Malaysia Tahun 2011 telah disempurnakan oleh YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara pada pagi ini.
"Saya mengharapkan agar tilawah ini akan membawa implikasi positif terhadap pembangunan integriti di kalangan setiap warga PDRM, menjadi warga PDRM yang beriman yang melaksanakan amanah dengan ikhlas dan bertanggungjawab," ujar YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar dalam ucapannya di majlis tersebut.
Seramai 16 qari dan 12 qariah telah memperdengarkan bacaan yang diadili jemaah hakim yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Sohibul Fadhilah Ustaz Azizan bin Shaari, Ketua Penolong Pengarah (Agama) Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) PDRM. Penilaian markah-markah telah dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Tajwid, Fasohah,Tarannum dan Suara.
Johan Qari telah disandang oleh Sjn Hj Mohamad Rozi bin Dato' Hj Tarmizi yang mewakili Kontinjen Kelantan, manakala Johan Qariah telah disandang oleh Puan Hajah Sabariah Bt Abdul Hamid yang mewakili Kontinjen Kedah. Kedua-dua johan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3000 seorang bersama trofi serta serta hadiah iringan dan sijil penyertaan.
Dalam majlis ini juga, Piala Pusingan Tilawah yang lama telah diserahkan kepada Muzium Polis Diraja Malaysia untuk dijadikan bahan pameran.
Turut hadir YDH Dato’ Seri Khalid Bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Diraja Malaysia, YDH SAC Dato' Dr. Hashim bin Haron, Timbalan Pengarah Pengurusan Agama dan Kaunseling (BAKA), YDH Dato'-Dato' Timbalan Pengarah, barisan Jemaah Hakim, Pegawai Kanan Polis dan Anggota Polis serta kakitangan awam Polis Diraja Malaysia.

Johan Qari dan Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Polis Diraja Malaysia Tahun 2011 bersama hadiah yang dimenangi.

YDH Tan Sri Ismail Bin Haji Omar menyerahkan Piala Pusingan Tilawah lama kepada YDH SAC Dato' Dr. Hashim bin Haron untuk diserahkan kepada Muzium Polis Diraja Malaysia untuk dijadikan bahan pameran.
Wartawan/Jurufoto : L/Kpl Shareel bin Shariman
Penyunting : L/Kpl Edwind Indo