Geng Mayang Curi Motosikal Tumpas Lapan Remaja Ditahan
George
Town, 15 Jan - Polis menumpaskan geng 'Mayang' yang bergiat aktif
mencuri motosikal di sekitar daerah Barat Daya berikutan penahanan lapan
remaja, sejak seminggu lalu.
Timbalan
Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Fah Hin berkata seorang lelaki
remaja berumur 18 tahun ditahan pada 3 Jan lalu pada pukul 5.30 petang
di sebuah premis di kawasan Mayang Pasir, Bayan Baru.
Ketika
ditahan, suspek sedang meleraikan beberapa buah motosikal yang
dipercayai baru dicuri dari kawasan berhampiran, katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Katanya
lanjutan daripada tangkapan berkenaan, tujuh lagi remaja ditahan di
beberapa lokasi dan polis turut merampas lapan buah motosikal, lapan
buah rangka motosikal dan pelbagai komponen motosikal dianggarkan
bernilai RM80,000.
Kesemua suspek berumur antara 18 dan 25 tahun itu turut terlibat dengan beberapa rekod kesalahan jenayah lampau dan dadah.
Hasil
daripada soal siasat ke atas kesemua suspek juga mendapati mereka
terlibat dalam kes curi 16 buah motosikal di daerah Barat Daya, Timur
Laut dan Seberang Prai Tengah sejak 2010.
"Sebaik
mencuri, kesemua motosikal berkenaan akan dileraikan dan komponen akan
dijual secara runcit kepada pembeli tempatan antara RM400 hingga RM800
sebuah bergantung kepada permintaan," katanya.
Beliau
turut menasihati orang awam supaya tidak terpengaruh untuk membeli
motosikal curi atau komponen dengan harga murah kerana ia menyalahi
undang-undang.
Sumber : BERNAMA