Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Empat Lelaki Termasuk Dalang Kes Penculikan Kanak Kanak Lima Tahun Ditahan Polis

Published: 10 Oct 2015 3.59 PM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis menahan empat lelaki termasuk dalang yang terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Sungai Chua, Kajang semalam.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/empat-lelaki-termasuk-dalang-kes-penculikan-kanak-kanak-lima-tahun-ditahan-polis
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 04:30 MYT

Shah Alam, 10 Okt - Polis menahan empat lelaki termasuk dalang yang terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Sungai Chua, Kajang semalam.

Kesemua suspek yang ditahan secara berasingan malam tadi berumur lingkungan 28 hingga 45 tahun dan seorang daripada mereka adalah warga Indonesia. Antara yang ditahan adalah pemandu teksi yang menghantar pulang kanak-kanak itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata susulan kejadian culik pukul 9.26 pagi semalam, bapa mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek kira-kira 10.50 pagi meminta beliau menyerahkan wang tebusan RM300,000.

Katanya bapa mangsa kemudian membuat bayaran tebusan tersebut dengan meletakkannya di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya besar di Saujana Impian, Kajang seperti yang dikehendaki suspek berkenaan.

Susulan pembayaran wang tebusan itu, pada 5.40 petang, mangsa kemudiannya dibebaskan dan dihantar pulang oleh seorang pemandu teksi kepada keluarganya di Taman Suria, Sungai Chua, katanya.

"Berikutan kes berkenaan, polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu dan hasil risikan, dua lelaki ditahan dalam tangkapan pertama pada 10.10 malam tadi di hadapan sebuah pasar raya mini di Jalan Sungai Chua.

"Lelaki berumur 28 tahun dan warga Indonesia berumur 32 tahun itu ditahan ketika berada di dalam sebuah Proton Saga dan pemeriksaan mendapati kereta itu adalah kereta yang sama digunakan ketika menculik kanak-kanak berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai wang tunai berjumlah RM30,000 disorok di bawah tempat duduk kereta itu dan sepasang nombor plat kenderaan palsu dipercayai digunakan ketika penculikan berkenaan.

Berikutan itu, katanya polis menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 45 tahun dipercayai dalang penculikan itu pada 12.15 malam tadi di rumahnya di Kajang Raya, Sungai Chua.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap dalang itu menemui wang tunai RM1,050 di dalam beg duit suspek dan RM60,500 disorok di bawah tempat duduk motosikal lelaki itu di luar rumahnya.

"Polis turut merampas sebuah beg berwarna ungu dipercayai digunakan bapa kanak-kanak itu bagi mengisi wang tebusan yang diminta suspek," katanya.

Susulan penahanan ketiga-tiga suspek itu, Abdul Samah berkata pemandu teksi yang menghantar pulang kanak-kanak itu juga ditahan dan teksinya dirampas pada 12.15 malam tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Abdul Samah berkata dalam kejadian 9.26 pagi semalam, kanak-kanak lelaki berkenaan diculik tiga lelaki warga tempatan menaiki sebuah Proton Saga ketika mangsa dihantar ibunya ke sebuah prasekolah di Sungai Chua, Kajang.

"Suspek dipercayai memberhentikan kereta di hadapan kenderaan ibu mangsa kononnya ingin bertanya soalan namun ketika berbual, seorang lagi suspek meluru keluar lalu menarik kanak-kanak itu ke dalam kereta dan terus memecut laju," katanya

Menurutnya, dalang kes penculikan itu tinggal dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer dari rumah keluarga mangsa dan dipercayai mengenali bapa kanak-kanak itu atas urusan perniagaan.

Tambah beliau, motif sebenar penculikan masih disiasat namun tidak menolak kemungkinan suspek utama, yang menjalankan perniagaan percetakan di Plaza Indah, Taman Sepakat Indah, Kajang melakukan perbuatan itu akibat masalah kewangan.

Abdul Samah berkata setakat ini, polis menemui semula wang tebusan itu sebanyak RM291,550 namun kehilangan bakinya sejumlah RM8,450 sedang disiasat.

Ketika ditanya hubungan kesemua suspek dan sama ada mereka diupah oleh dalang berkenaan, Abdul Samah berkata polis sedang menyiasat lebih lanjut berhubung perkara itu.

Katanya kanak-kanak berkenaan kini berada dalam keadaan sihat walaupun terdapat sedikit kesan lebam di tangan dan badan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui semula lapan jam selepas dipercayai diculik oleh dua lelaki di Taman Setia, Sungai Chua, Kajang, pagi semalam.

Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat dan dihantar pulang oleh seorang pemandu teksi ke rumahnya.- BERNAMA

ArticlePublished 10 Oct 2015 3.59 PMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM