Edar Dadah Guna Khidmat Kurier
Bukit
Aman, 3 Mac – Taktik baharu sindiket dadah dikesan menggunakan
perkhidmatan kurier terbongkar apabila seorang lelaki warga asing
ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 545 gram oleh sepasukan polis
dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada Februari
lalu.
Suspek
yang berumur 35 tahun merupakan seorang pelajar di institusi pengajian
swasta tempatan ditahan di hadapan pejabat kurier di Nilai, Negeri
Sembilan dan dipercayai hendak menggunakan perkhidmatan tersebut bagi
tujuan mengedar dadah kepada pelanggan-pelanggannya.
Ekoran
daripada penahanan suspek membawa kepada serbuan sebuah apartment di
Petaling Jaya dan berjaya menemui plastik kecil berisi daun-daun kering
dipercayai ganja seberat 173 gram.
Aktiviti
penyeludupan dadah berjaya ditumpaskan hasil kerjasama Pasukan Khas
Siasatan Bersepadu JSJN Bukit Aman dan Drug Enforcement Agency (DEA)
dalam satu 'Op Bass' yang dilancarkan bagi membanteras pengedaran dadah
merentasi sempadan.
Nilai
rampasan dadah dianggarkan RM115,000 dan suspek kini disiasat di bawah
Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengesan ahli-ahli sindiket
lain yang masih aktif.
Sumber : Jabatan Narkotik Bukit Aman