Sepang - 14 Disember 2010.
YDH
SAC Dato' Mohd Nizar bin Mohd Ali iaitu Ketua Penolong Pengarah
Pengurusan (Perkhidmatan) yang mewakili Ketua Polis Negara dan seluruh
warga PDRM menyeru supaya pegawai dan anggota PDRM yang merupakan 'duta
kecil' sentiasa berdisiplin dan berhati-hati semasa menjalankan tugas di
sana nanti. Konsep 4P (Performance, Protective, Proactive & People Oriented)
yang baru diperkenalkan oleh YDH Ketua Polis Negara juga diharapkan
akan dapat diamalkan walaupun bertugas di tempat orang. Tambah beliau
lagi, 'duta kecil' ini perlu berpegang kepada pepatah Melayu, 'Di mana
bumi dipijak, di situ langit dijunjung' dan 'Lain padang lain belalang,
lain orang lain ragamnya'.
Ucapan
tersebut disampaikan dalam satu majlis sempena pelepasan seramai 25
orang pegawai dan anggota PDRM ke Darfur, Sudan bagi Misi PBB United
Nations African Union Mission In Darfur (UNAMID) dan United Nations
Mission In Sudan (UNMIS). Keberangkatan mereka untuk tempoh satu tahun
adalah bagi menggantikan 25 pegawai dan anggota United Nations Police
Officer (UNPOL) yang telah pulang ke tanah air pada 15 September 2010
yang lalu.
Rombongan
seramai 25 pegawai dan anggota ini diketuai oleh SUPT Hj Hanafi bin Hj
Daud adalah sebagai pasukan pengaman yang akan melaksanakan tugas dan
tanggungjawab sebagaimana yang telah digariskan oleh PBB.
Penglibatan
Polis Diraja Malaysia dalam Misi PBB telah bermula dengan penghantaran
14 pegawai dan anggota pada 13 Ogos 1991 lagi. Ianya berterusan sehingga
kini dengan jumlah pegawai dan anggota yang sedang bertugas di misi PBB
pada masa ini adalah seramai 243 orang. Sehingga kini, sejak tahun 1991
, PDRM telah menghantar 2,996 pegawai dan anggota di 12 buah negara
meliputi Angola, Kemboja, Sahara, Croatia, Somalia, Afganistan, Sierra
Leone, Bosnia Herzegovina, Mozambique, Kosovo, Timor Leste dan juga
negara Sudan.
Majlis
telah disempurnakan oleh YDH SAC Dato' Mohd Nizar bin Mohd Ali bersama
DSP Zainuddin bin Kasim, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang.

YDH SAC Dato' Mohd Nizar bin Mohd Ali menyampaikan amanat kepada para rombongan..

SUPT Hj Hanafi bin Hj Daud mengetuai lafaz bacaan ikrar..

YDH SAC Dato' Mohd Nizar bin Mohd Ali bersalaman dengan rombongan yang akan berlepas..

Bermesra dengan ahli keluarga sebelum berlepas.
Jurufoto : L/Kpl Syamsul Baharin bin Mohamed
Wartawan : L/Kpl Mohd Khaidzir bin Mahmad
Penyunting : F29 Siti Fatimah bt Abdul Manan