Warga Pdrm Sumbang Duit Bantu Mangsa Banjir Pdrm
Alor Setar - 14 Disember 2010.
Kejadian
banjir terburuk yang melanda negeri Kedah dan Perlis pada November lalu
telah mengakibatkan seramai 969 orang warga PDRM, masing-masing 486
orang di Perlis dan 483 orang di Kedah mengalami kerugian harta benda
dan kerosakan tempat tinggal. Kerugian yang dianggarkan ditanggung
mereka adalah sejumlah RM 3.37 juta.
Atas
dasar keprihatinan seluruh warga PDRM yang telah sama-sama merasai
keperitan mereka, warga PDRM melalui potongan gaji sebanyak RM 2.00,
telah berjaya mengumpul sejumlah wang RM 236,000.00 bagi disumbangkan
kepada semua mangsa banjir PDRM. Selain itu, Tabung Kebajikan Pasukan
turut menyumbang sebanyak RM 300,000.00 bagi meringankan beban mangsa.
Penyampaian
sumbangan ini telah disempurnakan dalam satu Majlis Penyampaian
Sumbangan Mangsa Banjir Kontinjen Kedah dan Kontinjen Perlis yang telah
disampaikan oleh YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Haji Ismail B Haji Omar
dan Pengerusi Perkep Malaysia, YBhg Puan Sri Suriati Bt Mohd Sobri.
Majlis telah berlangsung di Dewan Perumahan Polis, Taman Derga Jaya,
Alor Setar, Kedah pada jam 4.00 petang.
"Sesungguhnya
kecemerlangan tugas dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh mereka ini
telah mendapat perhatian dan pujian daripada pemimpin-pemimpin
masyarakat di kedua-dua negeri tersebut. Walaupun turut menjadi mangsa
banjir, ianya tidak pernah melemahkan semangat mereka untuk melaksanakan
tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan", ucap YDH Ketua Polis Negara
dalam ucapan yang disampaikan kepada semua mangsa banjir dan warga
PDRM.
Selain
itu, beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap pegawai dan anggota
PDRM yang menjadi mangsa kerana mereka tetap menjalankan tanggung jawab
menyelamat dan menjaga harta benda serta nyawa mangsa-mangsa banjir yang
lain dengan cemerlang dan membanggakan pasukan.
Majlis
ini turut dihadiri oleh YDH DCP Dato' Zubaidah binti Md. Ismail,
Timbalan Pengarah I Jabatan Logistik, YDH SAC Dato' Zaleha binti Abd.
Rahman, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), YDH SAC Dato' Asri
bin Yusoff, Pemangku Ketua Polis Kedah, YDH ACP Zull Aznam bin Haron,
Pemangku Ketua Polis Perlis, Ketua-ketua Jabatan Kontinjen Kedah dan
Perlis, Ketua-ketua Polis Daerah Kedah dan Perlis, Pengerusi PPKPCPW,
PPKPCI, PPRPD, PACSU dan pegawai/anggota/pegawai awam mangsa banjir.
Sebelum
mengakhiri ucapan, YDH Ketua Polis Negara telah mengingatkan seluruh
warga PDRM untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan berpegang
kepada saranan kerajaan iaitu, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan'.

YDH SAC Dato' Asri bin Yusoff, Pemangku Ketua Polis Kedah menyampaikan ucapan.

YDH Ketua Polis Negara menyampaikan ucapan.

Y.Bhg Puan Sri Hajah Suriati binti Md Sobri, Pengerusi Perkep Malaysia menyampaikan sumbangan PERKEP PDRM kepada mangsa banjir.

YDH Ketua Polis Negara menyampaikan sumbangan kepada setiap wakil-wakil Ketua Polis Daerah Kedah dan Perlis.

YDH Ketua Polis Negara menyampaikan cek replika kepada YDH Pemangku Ketua Polis Kedah.

YDH Ketua Polis Negara beramah mesra dengan mangsa banjir.
Balai-Balai Polis yang terlibat dengan banjir






Jurufoto : L/Kpl Edwin Indo
Wartawan : Insp Haslina bt. Mohd Nor
Penyunting : C/Insp Norsuzila bt Kamaruldin