Dua Suspek Kes Rompak Maut Motosikal Terbabas Setelah Dibur
SEREMBAN,
9 Feb - Dua lelaki suspek kes rompak terbunuh selepas motosikal yang
ditunggangi mereka terbabas ketika cuba melarikan diri dari buruan polis
di susur masuk ke Mambau, Lebuhraya Seremban-Port Dickson berhampiran
Plaza Tol Mambau, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superitendan Abd. Wahab Harun berkata dalam
kejadian pada 12.45 tengah hari itu, kedua-dua suspek yang menunggang
dua motosikal berasingan itu dipercayai melarikan diri selepas melakukan
satu rompakan di sebuah kedai kek di Batu 6, Telok Kemang, Port Dickson
dekat sini.
"Pihak
polis menerima laporan berhubung kejadian rompakan membabitkan dua
suspek berusia 21 dan 27 tahun itu kira-kira 12.30 tengah hari dan
sebaik menerima laporan, anggota peronda polis telah dapat mengesan
motosikal yang ditunggangi suspek berada di kawasan Rehat dan Rawat
(R&R) Mambau, lebuhraya itu.
"Apabila
anggota polis berkenaan menghampiri kedua-dua lelaki ini mereka terus
melarikan diri dan pasukan polis itu telah mengejar mereka," katanya
ketika dihubungi di sini. Katanya, sebaik tiba di selekoh berhampiran
susur masuk ke Mambau, kedua-dua suspek gagal mengawal motosikal
masing-masing sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Katanya,
seorang daripada suspek itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah
di badan dan kepala, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dalam
perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini. Menurut Abd. Wahab
hasil pemeriksaan ke atas mangsa, polis menemui dua telefon bimbit jenis
iPhone 4 dan Samsung S2 serta dua bilah parang yang dipercayai
digunakan ketika melakukan rompakan itu.
Katanya
kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangan
kecederaan ketika merompak dan Seksyen 395 kanun Keseksaan kerana
rompakan berkumpulan.-BERNAMA