Dua Suspek Cedera Ditembak Selepas Cuba Langgar Polis
Kuala
Terengganu, 1 Julai - Dua lelaki yang disyaki anggota kumpulan samun,
cedera ditembak selepas kereta yang mereka naiki cuba melanggar anggota
polis di Kampung Durian Guling, Marang Sabtu lepas.
Mereka
adalah antara tiga lelaki berusia antara 30 dan 48 tahun yang ditahan
polis kerana disyaki aktif melakukan samun di negeri ini.
Timbalan
Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata empat anggota
polis yang membuat rondaan terserempak dengan kereta Proton Waja yang
dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan pada pukul 4.45 pagi.
"Menyedari
kereta mereka diekori, suspek bertindak membuat pusingan 'U' dan
anggota polis memberikan isyarat supaya memberhentikan kenderaan namun
suspek enggan dan cuba melanggar anggota polis.
"Namun
anggota kami berjaya mengelak dan polis mengejar suspek sejauh tiga
kilometer. Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum
memberkas ketiga-tiga suspek itu," katanya pada sidang akhbar yang di
sini hari ini.
Beliau
berkata tembakan itu menembusi kereta yang dinaiki suspek dan terkena
pinggang dan lutut dua daripada tiga lelaki terbabit. Mereka kini
dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Hamzah
berkata polis menemui beberapa peralatan seperti parang, golok,
cangkul, pemotong besi, sabit dan alat menghisap dadah dalam kereta
Proton Waja yang dinaiki tiga lelaki terbabit.
Beliau
berkata ketiga-tiga lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu adalah
rakyat tempatan dan mempunyai rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan
dadah dan kes jenayah.
"Kami percaya dengan tertangkapnya suspek, polis dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah yang dilapor di negeri ini," katanya.
Sumber : BERNAMA